Gambar hiasan

KLANG – Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menjelaskan bahawa “tuntutan” partinya terhadap kerusi tinggalan Gerakan hanya terhad kepada kerusi majoriti Cina di Pulau Pinang yang tidak diminati UMNO dan MIC.

Sin Woon berkata, kerusi berkenaan mempunyai 70 hingga 80 peratus pengundi keturunan Cina dan terletak di Pulau Pinang, bukannya negeri lain.

Sin Woon berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa MCA tidak akan mendapat kerusi yang ditinggalkan Gerakan di Pulau Pinang secara automatik.

Beliau dipetik Sinchew Daily sebagai berkata demikian selepas merasmikan bilik gerakan MCA di Klang, Selangor.

Sin Woon berkata, prinsip pengagihan kerusi dalam Barisan Nasional (BN) mengutamakan sesebuah parti untuk bertanding di kerusi asalnya sebelum berbincang untuk bertukar kerusi atau menambah kerusi.

Untuk kerusi yang ditinggalkan Gerakan dan PPP yang telah keluar BN, beliau menjelaskan, kerusi tersebut adalah terbuka untuk “tuntutan” parti-parti komponen.

Sin Woon juga mengakui kesukaran MCA untuk menang di kerusi majoriti Cina yang ditinggalkan Gerakan di Pulau Pinang.

“MCA tidak cakap kami pasti menang, tetapi kami telah berusaha bersungguh-sungguh termasuk mengubah imej parti dan melantik lebih ramai golongan profesional muda sebagai calon,” katanya.

Sementara itu, Nanyang Siang Pau melaporkan, Sin Woon menyatakan sokongan supaya Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dijadikan “poster boy” untuk BN di Selangor.

Katanya, BN telah membincangkan keperluan menjadikan pemimpin yang boleh diterima pelbagai kaum sebagai “poster boy” dan Tengku Zafrul merupakan calon terbaik.

Beliau bagaimanapun berkata, menjadi “poster boy” tidak semestinya bermaksud Tengku Zafrul akan menjadi menteri besar sekiranya BN menang. – MalaysiaGazette