HARI Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September merupakan dua tarikh penting Sambutan Bulan Kebangsaan yang dirai dengan meriahnya oleh semua pihak, baik kerajaan, agensi dan institusinya, organisasi bukan kerajaan mahupun rakyat marhaen.
Lebih kurang enam dekad kemerdekaan dan pembentukan Malaysia disambut oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tua dan muda, bangsa, agama dan budaya serta pelbagai latar belakang ekonomi, pendidikan dan fahaman.
Kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia mewujudkan pandangan berbeza-beza tentang erti kemerdekaan dan juga semangat yang ada dalam sambutan kebangsaaan. Pandangan berbeza ini bergantung kepada keprihatinan terhadap semangat patriotisme, pemahaman terhadap konsep perpaduan dan juga usaha memupuk nilai murni setiap individu dalam kehidupan bermasyarakat.
Ketiga-tiga perkara penting yang disebutkan ini perlulah difahami sebaiknya untuk merealisasikan pandangan yang betul mengenai kesatuan rakyat Malaysia agar terhasilnya kemakmuran dan keharmonian dalam negara tercinta ini. Semangat patriotisme diistilahkan sebagai perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air (Kamus Dewan 1989: 917). Patriotisme berasal daripada perkataan Latin patria danYunani patritha yang merujuk kepada seseorang yang mempunyai perasaan cinta, sentiasa menyokong dan mempertahankan negara sendiri secara berterusan dan
berpanjangan.
Patriotisme bukanlah sekadar luahan perasaan, bahkan ia menuntut penghayatan oleh setiap warganegara. Ia bukan sekadar semangat, tetapi merupakan pegangan agung yang melibatkan elemen kesetiaan, keberanian, jati diri, rela berkorban, kesukarelaan, kewarganegaraan, kemerdekaan, kedaulatan dan cinta terhadap bangsa dan negara. Oleh itu, setiap rakyat Malaysia harus mempunyai semangat patriotisme kerana
kemerdekaan yang diperoleh bukan didapati dengan mudah, malah berlaku dalam suasana yang penuh kesukaran dan pengorbanan.
Kita dianggap berjiwa patriot (pejuang) apabila kepercayaan, amalan dan tindakan menepati cinta dan setia kepada negara sehingga sanggup melakukan apa saja deminya. Sesebuah negara dibentuk oleh warisan dan wawasan yang berlandaskan sejarah yang dilalui oleh rakyat dalam negara tersebut. Warisan di sini merujuk kepada kehidupan rakyat yang diketuai pemimpin yang mengemudi mereka melalui pelbagai liku-liku sejarah sejak zaman dahulu.
Hubungan rakyat kepada negara dan pemimpin diikat oleh semangat patriotisme. Dalam konteks Malaysia, konsep cintakan negara yang ingin diterapkan adalah mempunyai nilai-nilai seperti berbangga sebagai rakyat dan setia kepada negara, bersemangat kekitaan, berdisiplin dan seterusnya berusaha dan produktif. Nilai-nilai ini telah diterima dan diguna pakai oleh Kementerian Pendidikan dan diterapkan dalam kalangan pelajar-pelajar daripada peringkat rendah, menengah dan institut pengajian tinggi (IPT) agar dapat melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri yang tinggi sebagai aset yang berharga kepada agama, bangsa dan negara.
Namun persoalannya, adakah penerapan nilai-nilai ke dalam sistem pendidikan kita ini telah berjaya melahirkan warganegara yang betul-betul mempamerkan semangat cintakan negara? Malang sekali, ia jauh daripada apa yang diimpikan kerana terlalu banyak kepincangan berlaku dalam masyarakat, antaranya ketamakan pemimpin sehingga sanggup menggadaikan negara dan membazirkan wang rakyat untuk kepentingan diri sendiri, tidak langsung memikirkan kepentingan rakyat yang amat memerlukan bantuan.
Begitu juga terdapat rakyat yang tidak cintakan negara sehingga sanggup memperjudikan kedaulatan negara dengan memilih pemimpin yang tidak berintegriti dan kompeten sebagai pemimpin mereka. Semangat patriotisme ini amatlah penting untuk dihayati sedalamnya oleh seluruh rakyat Malaysia kerana implikasinya sangat besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat dan negara.
Tanyalah diri sendiri sama ada kita betul-betul cintakan negara kita dan telah melakukan apa yang sepatutnya, bukan sekadar berkata-kata. Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin menyatakan bahawa inti pati semangat cintakan negara akhirnya akan menjurus kepada perpaduan yang selanjutnya menatijahkan keadaan yang aman damai dan melahirkan suatu bentuk kestabilan politik, ekonomi dan sosial yang baik. Keadaan ini membolehkan rakyat daripada pelbagai etnik dapat hidup bersama dalam suasana aman dan bebas daripada konflik kekerasan etnik yang kerap dan berpanjangan.
Kepentingan perpaduan rakyat
Malaysia merupakan sebuah negara majmuk dengan kewujudan pelbagai kelompok kaum, agama dan budaya yang berbeza sejak hampir seratus tahun. Kemasukan warga asing telah menyebabkan komposisi masyarakat semakin berbilang bangsa. Walaupun terdapat pelbagai usaha menyatukan kelompok etnik, agama dan budaya yang berbeza terutama di peringkat awal kemerdekaan negara, agenda keharmonian dan perpaduan perlu terus menjadi penekanan masyarakat dan negara bagi memastikan kestabilan dan keharmonian dapat dicapai.
Memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman ketika pengisytiharan kemerdekaan negara, “Mulai 31 Ogos 1957, (kita) akan menjadi sebuah negara berdaulat dan demokratik untuk selama-lamanya, yang dibina berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan serta sentiasa memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya”. Katanya lagi, “Kita semua adalah rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai satu bangsa dan sebagai satu negara”.
Oleh itu, kalam Tunku ini boleh difahami sebagai wajibnya pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan negara berusaha memastikan perpaduan dan keharmonian rakyat tercapai. Walaupun terdapat pelbagai cabaran yang mendatang dan cuba merosakkan keharmonian yang sedia terjalin, rakyat perlu terus diberi pemahamanan bahawa mereka sepatutnya menerima hakikat yang mereka berkongsi bumi yang sama.
Agenda perpaduan dalam kalangan masyarakat perlu menjadi keutamaan dan digerakkan secara menyeluruh dan bukan semata-mata sebagai slogan oleh semua pihak dalam masyarakat terutamanya agamawan, pendidik dan pemimpin masyarakat.
Ia merupakan asas kepada kesatuan rakyat di Malaysia dan membawa kepada kemajuan pembangunan negara. Kepelbagaian semestinya membawa kepada perbezaan dan ia memang menjadi lumrah kehidupan, namun tidak semesti perbezaan itu sentiasa membawa kepada keburukan.
Dr Mohd Farid Mohd Shahran, Felow Utama dan Pengarah Pusat Kajian Syariah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ada menekankannya dalam pembentangan beliau di Kongres Nasional Islam, Keluarga Malaysia dan Keharmonian: Membina Agenda Kalis Cabaran Masa Depan. Menurutnya, sejarah manusia banyak merakamkan bahawa usaha dan aktiviti manusia dijalankan atas kerjasama, kesatuan fikrah dan kesepakatan. Ini dapat ditunjukkan di dalam pelbagai tamadun dan peradaban manusia yang hebat, contohnya peradaban Islam yang dibentuk oleh Islam berlandaskan panduan al-Quran.
Kita dapati bahawa Rasulullah SAW sendiri telah membuktikan secara amali kepentingan perpaduan dalam negara Islam yang ideal bahkan rentas kaum dan agama. Perbezaan yang ada tidak menghalang kepada kesejahteraan dan juga pembangunan masyarakat atau negara tersebut. Meneliti sejarah untuk mendapatkan kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman sendiri dari awal lagi sentiasa menekankan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama, malah tidak pernah menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka.
Usaha beliau disokong oleh beberapa pemimpin lain seperti Tun VT Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock. Biarpun Malaysia secara amnya lebih aman berbanding kebanyakan negara lain di skala global, polarisasi masyarakat kerana isu-isu keagamaan, politik, sosial, pentadbiran dan sebagainya memang tidak dapat dinafikan. Sedikit jolokan isu perkauman atau keagamaan contohnya, boleh menggegarkan atau membuka ruang untuk retakan dan ketegangan sesama rakyat.
Di sini pentingnya peranan dan kualiti pemimpin yang kompeten dan berintegriti yang dapat menyatukan dan bukannya memecah-belahkan rakyat. Namun sayang, di Malaysia terdapat pemimpin yang sanggup mempolitikkan isu perpaduan semata-mata untuk mendapatkan sokongan atau atas sebab peribadi yang terus ingin berada di pucuk pimpinan. Justeru, semua rakyat Malaysia perlu memahami bahawa perbezaan sepatutnya merupakan satu aset besar kepada kita semua yang memungkinkan pembentukan negara yang maju dalam pelbagai segi dan bukan dianggap satu liabiliti yang membawa kepada keruntuhannya.
Ia perlu dilihat secara objektif dan usaha perlu dilakukan bagi mengukuhkan pemahaman ini agar perpaduan rakyat tidak mudah goyah oleh sekelompok manusia untuk kepentingan mereka. Jika kesatuan dan perpaduan dapat kita hasilkan dalam masyarakat, maka mudah untuk kita lihat pemupukan nilai-nilai murni.
Pemupukan nilai murni antara kaum
Kerajaan Malaysia amat menitikberatkan persoalan akhlak dan nilai-nilai murni dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Kandungan Rukun Negara tertumpu ke arah melahirkan satu negara bangsa Malaysia yang maju progresif, saintifik dan hidup bersatu-padu. Kajian menunjukkan bahawa tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India masing-masing mengamalkan kebudayaan, adat resam, agama dan bahasa tersendiri.
Budaya masyarakat Melayu contohnya, menggabungkan unsur agama iaitu Islam dan adat. Kedua-dua aspek ini menjadi asas yang utama dalam proses sosialisasi dan pembudayaan. Namun demikian, adat dan budaya yang menjadi asas dalam proses sosialisasi tersebut hendaklah berteraskan syarak. Ini adalah kerana jati diri Melayu yang bersandarkan adat dan budaya adalah berpaksikan konsep tauhid.
Ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah agama yang sentiasa memartabatkan maruah, kemuliaan atau harga diri manusia. Islam tidak pemah membezakan kedudukan seseorang dengan yang lain berdasarkan perbezaan wama kulit, jantina atau lainnya. Islam sebagai agama dan sistem kepercayaan merupakan teras jati diri orang Melayu. Perwatakan, adab dan kesusilaan orang Melayu yang bersandarkan prinsip tauhid dan hukum syarak dihayati dalam sistem kehidupan sama ada dalam entiti keluarga, masyarakat mahupun sistem pemerintahan negara.
Masyarakat Cina juga mempunyai sistem kepercayaan dan pandangan semesta yang tersendiri. Mereka memuja nenek moyang dan tian (langit) di samping kepercayaan primitif iaitu animisme iaitu pemujaan binatang, tanaman atau alam semula jadi. Ia wujud dalam kalangan masyarakat Cina sejak zaman silam lagi. Di Malaysia, kebanyakan masyarakat Cina menganuti agama Buddha, Kristian, Taoisme dan Konfusianisme.
Masyarakat Cina lebih mementingkan aspek kepercayaaan yang boleh memberikan kesejahteraaan, kemakmuran, kebahagiaan dan kekayaan. Mereka mementingkan nilai kemanusiaan di mana mereka menganggap manusia mempunyai kedudukan yang unggul dan memainkan peranan penting dalam alam semesta.
Nilai-nilai tersebut termasuklah moral sebagai ideologi, hubungan manusia dengan alam semesta, kepentingan institusi keluarga, keutamaan pendidikan, dan keharmonian. Ini jelas menunjukkan bahawa bagi masyarakat Cina setiap golongan sama ada pemerintah atau yang diperintah mestilah mempunyai moral dan akhlak yang mulia. Keluarga, masyarakat dan juga negara perlu mengetahui peranan masing-masing supaya kehidupan aman dan sejahtera.
Masyarakat India kebanyakannya beragama Hindu. Bagi masyarakat India, keluarga merupakan unit asas dan terpenting. Apa yang dititikberatkan oleh masyarakat India ialah perpaduan antara ahli keluarga yang dipelihara dengan kasih sayang dan memberi perhatian kepada semua golongan. Kepercayaan serta budaya keluarga dipelihara dan diturunkan kepada generasi muda. Agama Hindu amat menitikberatkan setiap individu supaya melakukan segala kebaikan dan tidak melakukan kerosakan terhadap makhluk yang lain, sama ada manusia atau haiwan.
Ini membentuk keperibadian masyarakat India dari segi etika dan moral yang mantap agar kehidupan mereka menjurus ke arah kebaikan dan dapat menghindar daripada keburukan dan perkara-perkara yang menyalahi norma-norma dan garis panduan dalam kepercayaan mereka. Masyarakat Malaysia selain diwarnai oleh tiga bangsa terbesar ini juga kaya dengan pelbagai etnik yang lain samada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak. Setiap kumpulan etnik ini juga kaya dengan budaya dan nilai-nilai murni yang dihayati oleh mereka.
Justeru, pelbagai bangsa dan etnik seharusnya mempunyai budaya yang membolehkan mereka berinteraksi antara satu sama lain. Kebudayaan masyarakat Malaysia walaupun berbeza, mempunyai asas yang sama iaitu membentuk keperibadian dan jati diri individu ke arah yang lebih baik. Inilah yang membolehkan masyarakat rakyat dapat saling berhubung dalam melaksanakan satu matlamat yang sama, iaitu membentuk masyarakat Malaysia yang bepegang teguh kepada ajaran agama masing-masing dan mementingkan nilai-nilai murni yang diajar dalamnya. Penghayatan nilai-nilai murni oleh masyarakat majmuk perlu diteruskan terutamanya yang terdapat dalam ajaran agama masing-masing.
Perbezaan dari segi agama, bahasa dan kebudayaan tidak sepatutnya menyebabkan lahirnya budaya kesukuan yang ketara dalam kalangan masyarakat di negara ini. Seharusnya, para pemimpin yang awal-awal meneladani nilai-nilai murni ini dalam pelbagai aspek, dari menjaga tutur kata sehinggalah menolak rasuah dan menjaga amanah yang telah dipertanggunjawabkan kepada mereka. Kelakuan yang tidak selari dengan nilai-nilai ketimuran semua bangsa Malaysia yang sopan dan berakhlak membuatkan rakyat rasa muak dan skeptik terhadap ahli politik. Rakyat sewajibnya memikirkan pimpinan jenis apa yang mereka mahukan untuk menerajui negara.
Ideologi luar pula ada yang membawa budaya hedonisme yang mengutamakan keseronokan semata-mata dan nilai-nilai negatif, ekonomi bebas yang menindas, sains dan teknologi yang menyeleweng dan memusnahkan serta sistem politik yang dipaksa ke atas manusia seluruh dunia. Malaysia tidak terkecuali daripada pengaruh ini pada era globalisasi yang mendesak. Globalisasi menjadi faktor pengubah budaya yang amat kuat dan deras, mengakibatkan semakin lenyapnya nilai-nilai luhur dan budi bahasa secara tidak disedari dan pemikiran luar diterima secara halus ke dalam minda masyarakat.
Bagi menghindari segala ancaman daripada fahaman luar yang meruntuhkan ini serta untuk menjamin ketahanan rakyat Malaysia, maka mereka mestilah berbalik kepada tiga perkara asas tersebut iaitu semangat cintakan negara, konsep perpaduan sebenar dan pemupukan nilai-nilai murni yang membentuk semua rakyat sebagai satu entiti yang boleh dikenali sebagai bangsa Malaysia.
“Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama.”
Dr Sabariah Baharun dan Dr Daniel Iqram Abd Halim
Pertubuhan IKRAM Malaysia