Sumber: Japan Meteorological Agency (JMA)

TOKYO – Beratus-ratus ribu orang di Jepun diarah untuk mengosongkan rumah mereka di tengah-tengah amaran taufan Nanmadol yang dijangka mendarat di Pulau Kyushu pada hari Ahad.

Taufan itu membawa angin kencang selaju 270km/j dan sesetengah kawasan boleh mengalami 500mm (20 inci) hujan dalam masa 24 jam sahaja.

“Amaran khas” berkuat kuasa untuk Kyushu, selain peringatan tanah runtuh dan banjir.

Jadual perkhidmatan kereta api dan penerbangan telah dibatalkan.

Kyushu adalah pulau yang paling selatan daripada empat pulau yang mempunyai populasi lebih 13 juta orang.

Ia adalah amaran khas pertama yang pernah dikeluarkan di luar Wilayah Okinawa, yang terdiri daripada pulau-pulau terpencil yang lebih kecil di Laut China Timur, lapor Japan Times.

Sebaik sahaja taufan itu mendarat, ia dijangka membelok ke timur laut dan bergerak ke atas melalui tengah Jepun ke arah Tokyo.

Seorang pegawai dari agensi meteorologi Jepun memberitahu wartawan bahawa terdapat risiko ribut yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ombak tinggi, lonjakan ribut dan rekod hujan.

Taufan Nanmadol berpotensi menjadi lebih teruk daripada Taufan Jebi pada 2018, yang menyebabkan 14 orang terkorban dan Taufan Hagibis, yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara meluas pada 2019. – Agensi