zaid ibrahim UMNO
Zaid Ibrahim

SETELAH dipecat dari UMNO pada 3 Disember 2008, Datuk Zaid Ibrahim berkelana dari satu parti ke parti yang lain selama hampir 14 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, peguam terkemuka berkenaan menyertai tiga parti politik.

Beliau memasuki PKR pada 13 Jun 2009 dan sempat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor pada 2010. Zaid tewas di tangan calon BN, Datuk P. Kamalanathan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen) itu seterusnya meninggalkan PKR pada 14 November 2010 dan menyertai parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pada 13 Disember 2010.

Dua hari kemudian, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu dilantik sebagai Presiden dan nama parti pun ditukar kepada parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA). Parti itu ditinggalkannya pada 2012.

Zaid tidak menyertai mana-mana parti politik selama kira-kira lima tahun selepas itu. Kemudian, pada 7 Februari 2017, beliau membuat kejutan dengan menyertai DAP.

Pada 10 Januari 2020, Zaid dilantik sebagai Pengerusi DAP Kelantan namun beliau keluar dari parti tersebut lebih dua bulan kemudian.

Ramai yang menyangka Zaid telah bersara dari politik dan menumpukan kepada firma guamannya sahaja. Nama beliau kembali popular selepas firmanya, Suflan TH Liew & Partners dilantik untuk membela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding rayuan akhir kes SRC International.

Namun, jangkaan itu meleset apabila Zaid mengesahkan kepada media kelmarin bahawa beliau telah menyertai UMNO semula. Beliau menyatakan, borang permohonan untuk menjadi ahli UMNO telah dikemukakan pada 27 Ogos lalu.

Sememangnya, tindakan Zaid itu boleh diumpamakan seperti sirih pulang ke gagang. UMNO ketika ini amat memerlukan pemimpin yang sanggup berjuang tanpa memikirkan kepentingan atau keuntungan peribadi.

Sejak Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang, Zaid tidak hanya berdiam diri. Beliau boleh saja ‘cuci tangan’ kerana tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh firmanya selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib.

Sebaliknya, Zaid tetap gigih ‘menghidupkan’ isu-isu membabitkan sistem kehakiman dan perundangan dalam kes-kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin UMNO terutamanya Najib.

Selain mengeluarkan kenyataan, beliau juga rajin menyiarkan rakaman video mengandungi ulasannya terhadap isu-isu tersebut. Zaid lantang mengkritik Majlis Peguam yang didakwa tidak menjaga kepentingan ahli-ahlinya sendiri dalam kes SRC International.

Boleh dikatakan Zaid lebih cakna bersuara dalam media sosial jika dibandingkan dengan sebahagian besar pemimpin muda UMNO yang kelihatan agak takut-takut untuk bersuara mempertahankan pemimpin-pemimpin sendiri.

Walaupun Zaid secara jelas menyatakan beliau menyertai semula UMNO bukan kerana jawatan, pucuk pimpinan parti seharusnya memberi peranan penting agar beliau boleh bergerak dengan lebih berkesan di bawah platform UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pengaruh Zaid masih ada dalam kalangan akar umbi lebih-lebih lagi sejak kemunculan semula beliau mempertahankan Najib. Penjelasannya dalam isu-isu berkaitan kes Najib juga mudah difahami dan sentiasa diikuti oleh netizen.

UMNO amat memerlukan ilmu, pengalaman dan kelantangan Zaid untuk memperjelaskan kepada rakyat apa yang sebenarnya berlaku dalam kes-kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin UMNO.

Tidak ramai pemimpin muda UMNO kerap bersuara dalam media sosial mengenai kes mahkamah pemimpin-pemimpin mereka. Mungkin kerana mereka takut dituduh menghina mahkamah atau tidak faham tentang undang-undang.

Berbeza dengan Zaid yang sangat arif tentang selok-belok sistem perundangan negara dan berupaya memberi penjelasan dan kritikan membina tanpa menghina institusi kehakiman negara.

Sekiranya Zaid tidak mahu jawatan, pucuk pimpinan UMNO boleh sekurang-kurangnya mewujudkan satu unit khusus bagi membantu beliau merakamkan video sesi dialog dan ceramahnya agar dapat diikuti dengan jelas oleh rakyat di seluruh negara.

Paling tidak pun, masalah seperti suara ‘bergema’ dalam rakaman program Bicara Nasional di Stulang Baru, Johor Bahru kelmarin dapat diatasi melalui penubuhan unit tersebut. – MalaysiaGazette