shahril hamdan OPR
Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sehingga 2.5 peratus yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini adalah lebih rendah berbanding kadar 3 peratus yang ditetapkan sebelum Covid-19 melanda negara.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kadar 2.5 peratus itu masih dianggap rendah berbanding waktu normal.

“Bermakna sewaktu Covid-19 memuncak tempoh hari, BNM menurunkan secara drastik OPR ke 1.75 peratus iaitu kadar paling rendah dalam sejarah negara.

“Tapi, waktu itu sebab banyak perkara tengah berlaku, mungkin orang tak sedar,” katanya seperti dipetik dari rakaman video yang disiarkan dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri memberitahu, OPR tidak boleh dibiarkan terlalu rendah bagi tempoh yang lama kerana ia boleh menyumbang kepada jumlah pelaburan spekulatif yang terlalu banyak dan pinjaman meningkat secara tidak sihat.

Bagaimanapun, katanya, BNM menaikkan OPR secara beransur-ansur, berbeza dengan kebanyakan negara-negara lain yang melakukannya secara mendadak.

Shahril menambah, kerajaan tidak boleh campur tangan berhubung keputusan BNM menaikkan OPR kerana bank pusat itu mempunyai kebebasan dari segi undang-undang untuk menetapkan dasar monetari.

Menurut beliau, para pelabur konservatif di seluruh dunia menentang campur tangan oleh mana-mana kerajaan dalam bank pusat.

“Kalau campur tangan itu dilihat berlaku maka krisis keyakinan pelaburan akan wujud dalam Malaysia,” jelasnya.

Shahril berkata, apabila krisis keyakinan pelaburan berlaku, kadar faedah dan bon kerajaan yang digunakan untuk membayar hutang boleh meningkat. – MalaysiaGazette