KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang berhasrat meluaskan konsep Pasar Tani Lestari dan Pintar yang menawarkan perkhidmatan bayaran tanpa tunai pada tahun 2023.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, sebanyak 40 peratus daripada 23 pasar tani kini melaksanakan konsep itu dan rancangan tersebut akan dilakukan secara berperingkat.
“Kerajaan negeri menggalakkan pasar tani konsep tani dan pintar di seluruh Pahang, setakat ini Pasar Tani di Pusat Transformasi Kuantan (UTC) merupakan yang pasar tani yang pertama menggunakan konsep ini dan akan diperluaskan di daerah lain mulai tahun depan melalui FAMA.
“Selanjutnya menerusi mesyuarat kerajaan 22 Oktober nanti akan membincangkan cara pelaksanaan konsep tanpa tunai ke semua pasar tani,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sejurus perasmian Pasar Tani Lestari dan Pintar di perkarangan Pusat Transformasi Kuantan (UTC) di sini pada Ahad.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negeri, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar, dan Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri.
Jelasnya, penggunaan konsep itu bagi memastikan perkembangan teknologi seiring di samping mengurangkan pencemaran dan menjadikan bumi ini lebih lestari.
Bagaimanapun, tambah beliau, penggunaan tunai masih digunapakai kepada pengguna yang belum mahir menggunakan teknologi tersebut.
Difahamkan selain penggunaan tanpa tunai, elemen lain diterapkan dalam pelaksanaan Pasar Tani Lestari dan Pintar ini dengan melarang penggunaan straw plastik selain menggalakkan penggunaan plastik mudah urai.
“Bekas plastik untuk jualan tidak lagi guna plastik yang biasa tapi menggunakan plastik mudah lupus untuk memastikan dibuang selupusnya.
“Penjagaan alam sekitar penting bagi memastikan masyarakat hidup sejahtera dan sihat dengan maka penggunaan beg plastik mudah urai dilihat lebih efektif bagi membantu proses pelupasan lebih cepat,” tambahnya.
Selain itu, katanya, tiada lagi penggunaan generator untuk mendapatkan arus elektrik dan digantikan dengan sistem tenaga solar dalam aktiviti pasar malam.
Tambah Abd Rahim, pihaknya merancang membina tapak pasar tani kekal dan berbumbung bagi kemudahan peniaga dan pengguna pada masa depan. – MalaysiaGazette