Keadaan Jalan Sultan Azlan Shah menuju Jalan Ipoh dinaiki banjir kilat selepas berlaku hujan lebat petang ini ketika tinjajuan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 APRIL 2022.

MEDIA sebelum ini melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, hujan lebat akan membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Menurut beliau, METMalaysia meramalkan sepanjang Oktober risiko bencana cuaca hanya membabitkan fenomena hujan ribut petir yang berpotensi menghasilkan angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat dalam tempoh yang singkat dan berskala kecil.

Jika kerajaan benar-benar mahu melakukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ianya perlu dilakukan sebelum hujung November iaitu dalam bulan Oktober atau awal November.

“Sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada awal November, kemungkinan banjir besar berlaku adalah kurang. Bagaimanapun, mulai pertengahan November ada kemungkinan banjir besar berlaku terutamanya penghujung November.

“Namun begitu, jika pilihan raya dilaksanakan pada Disember, cuaca yang berlaku dijangka memberi impak yang lebih signifikan kerana angin Monsun Timur Laut adalah aktif pada tempoh itu, di mana risiko untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir besar berskala besar adalah tinggi,” kata  Muhammad Helmi seperti yang dilaporkan media.

Adakah menjadi kesukaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksakan PRU sebelum hujung November?

SPR pada 27 Ogos lalu  dilaporkan, memaklumkan bahawa pihaknya sudah mengambil tindakan yang perlu bagi membuat persiapan sewajarnya jika PRU-15 dilaksanakan tahun ini.

Media melaporkan, kos lebih RM1 bilion juga sudah dianggarkan bagi pelaksanaan PRU-15 sebelum Julai tahun depan.

“SPR akan tetap melaksana pilihan raya seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“SPR juga sudah mengambil tindakan yang perlu bagi membuat persiapan sewajarnya sekiranya pilihan raya dilaksana tahun ini seperti dinyatakan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh sebelum ini,” kata SPR dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persiapan menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa, susulan pengumuman pembentangan Bajet 2023 diawalkan.

Adakah pelaksanaan PRU-15 menganggu persiapan menghadapi bencana banjir?

Berdasarkan laporan media pasukan penyelamat yang terlibat secara langsung dalam bencana banjir telahpun melakukan persiapan yang secukupnya.

Misalnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan memperuntukkan RM3 juta bagi membeli aset berkaitan sebagai persediaan menghadapi banjir.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya giat melakukan persiapan daripada segi latihan dan logistik, selain memastikan semua aset akan digunakan ketika bencana berada dalam keadaan baik.

Nor Hisham berkata, fokus utama JBPM adalah negeri kerap berlaku banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah serta Sarawak selain kawasan urban flood.

“Keanggotaan kami kini berada pada tahap 96 peratus atau 12,718 orang di seluruh negara dan baru-baru ini 1,000 kekosongan pegawai serta anggota sudah diisi.

“Sebanyak 60 buah bot disediakan bagi memastikan JBPM mampu menghantar bantuan ke lokasi bencana dengan cepat dan pantas.

“Tahun lalu kami berdepan isu pencahayaan yang kritikal, jadi JBPM melakukan perolehan 100 aset berkaitan dan semua ini membabitkan belanja RM3 juta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Bencana Peringkat Negeri Melaka di Pantai Puteri baru-baru ini.

Begitu juga dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang telah siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan ramalan cuaca tidak menentu di hampir kesemua negeri di Semenanjung Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, secara umumnya, pihaknya sudah ada hot spot yang dijangkakan berlaku bencana.

“Sepertimana tahun lepas, kita letak dan gerakkan aset kita ke Pantai Timur rupanya berlaku dekat Lembah Klang. Biasanya, jikalau ikut dulu-dulu punya trend, Monsun Timur Laut akan berada di sebelah Pantai Timur dan berakhir dengan Sabah Sarawak.

“Biasanya begitu, tetapi kita tak tahu dalam keadaan sekarang dan juga perubahan cuaca yang kita pun tidak jangkakan. Cuma memang kita agak berjaga-jaga pada kali ini apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan berkali-kali (banjir),” kata Aminurrahim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dilaporkan telahmengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah diaktifkan segera untuk menghadapi bencana banjir.

“Ini kerana JPBD mempunyai fungsi penting untuk melaksanakan kerja menyelamat serta penyampaian bantuan di lokasi bencana manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan JPBN menyelaras di peringkat Pusat serta negeri.

“Bagi aspek pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.

“Kerajaan memperuntukkan RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS seperti penyediaan bilik mandi serta tandas,” katanya.

Nampaknya pihak yang terbabit dengan bencana banjir sudah membuat persediaan yang secukupnya.

Cumanya, adakah ahli dan parti politik sudah bersedia berhadapan dengan ‘suara rakyat’ yang akan menentukan nasib mereka pada PRU-15 itu nanti? – MalaysiaGazette