MELAKA – Seorang bapa yang mengidap sakit jantung mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini terhadap semua 28 pertuduhan menjadikan dua anak kandungnya berusia 15 dan 19 tahun sebagai hamba seks sejak tujuh tahun lalu.
Tertuduh berusia 56 tahun membuat pengakuan itu termasuk bagi kesalahan merogol, melakukan seks luar tabi’i dan menggunakan objek dalam hubungan itu semasa pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Lelaki itu yang memakai baju hitam dan seluar panjang warna coklat kelihatan sugul di kandang pesalah dan hanya menundukkan wajah sepanjang prosiding.
Ketika beberapa kali disoal Nariman adakah tertuduh benar-benar faham pertuduhan dan hukuman yang bakal diterima termasuk 10 sebatan wajib bagi setiap pertuduhan rogol walaupun sudah melebihi 50 tahun, tertuduh menyatakan faham dan mengekalkan pengakuan bersalah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke 13 tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang kini berusia 19 tahun yang mana perhubungan antara mereka tidak dibenarkan undang-undang untuk berkahwin.
Semua kesalahan itu dilakukan tertuduh yang bekerja sebagai penyelia syarikat antara 24 september 2015 hingga 31 Disember 2018 pada masa berbeza di rumah mereka di Batu Berendam, dekat sini.
Bagi pertuduhan ke 14 hingga 28 lelaki itu didakwa atas lapan pertuduhan merogol anak keduanya kini berusia 15 tahun dan lima pertuduhan melakukan hubungan seks dengan memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa tanpa kebenarannya.
Tertuduh turut didakwa dan masing-masing satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabi’i (oral seks) terhadap mangsa.
Semua kesalahan itu dilakukan di tempat sama pada tarikh dan masa berlainan antara 4 Mei 2019 hingga 5 September 2022.
Bagi kesalahan merogol, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukum penjara minimum lapan hingga 30 tahun serta 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pertuduhan melakukan seks dengan memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa dikemukan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan denda serta sebat.
Bagi kesalahan melakukan amang seksual fizikal pula, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama seksyen 16 akta sama, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii, dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Sementara itu, pada prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan terhadap isterinya berusia 47 tahun dengan mengatakan mahu membunuhnya dan anak-anak.
Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua hakim bagaimanapun menangguhkan keputusan esok untuk fakta dan hukuman terhadap tertuduh selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari dan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob.
Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi semua 29 pertuduhan sementara menunggu keputusan hukuman esok.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan mahkamah tidak mempunyai wang untuk membayar jaminan selain menghidap sakit kulit kronik, jantung, diabetes dan darah tinggi. – MalaysiaGazette