zaid ibrahim pendakwaan terpilih
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mencabar kepimpinan DAP berterus terang Melayu seperti mana yang akan diterima oleh parti itu.

Beliau membuat cabaran itu berikutan dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam forum bersama pemimpin DAP baru-baru ini menyatakan kegagalan dua pentadbiran kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) kerana didominasi oleh etnik Melayu.

Katanya, kenyataan biadab itu lebih kepada berbaur perkauman dan akan menimbulkan banyak masalah jika tidak diperbetulkan oleh DAP.

“Ahli fikir terkemuka itu (Tommy) berucap panjang lebar mengenai kegagalan kepimpinan Melayu. Dia kata kalau kerajaan dan Kabinet ramai Melayu maka gagallah kerajaan itu. Itulah intipati ucapan dia yang turut bersamanya veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Saya nak tanya, Melayu yang macam mana yang boleh diterima oleh DAP? Kerana kalau DAP dalam kerajaan sekali pun mesti kena ramai Melayu. Jadi, DAP nak pilih Melayu yang macam mana, yang tidak gagal dan yang mampu mentadbir?

“Boleh rakyat tahu (jenis) Melayu yang diluluskan, yang direstui oleh DAP? Ini penting kerana pengundi Melayu hendak tahu. Mereka nak tahu Melayu yang disokong oleh PH ini apakah mereka Melayu berguna atau Melayu tidak berguna? Atau apakah mereka ini berguna untuk DAP semaa-mata?” soalnya dalam rakaman video yang dimuatnaik di akaun Facebooknya hari ini.

Semalam, media melaporkan Tommy menyelar dua pentadbiran kerajaan selepas PH tumbang pada 2020 menunjukkan kegagalan kerajaan yang didominasi etnik Melayu.

Bercakap semasa forum di Kuala Lumpur baru-baru ini, Tommy berkata, kerajaan yang mentadbir negara ketika ini menggambarkan konsep Ketuanan Melayu.

“Dalam tempoh dua tahun setengah, anda ada Kabinet yang didominasi oleh orang Melayu,” kata bekas Peguam Negara pro PH itu.

Menurut Zaid, pengundi juga hendak tahu apakah ciri-ciri yang dipersetujui oleh DAP kerana umum tahu di Malaysia, sesiapa yang memerintah mesti ramai menteri Melayu kerana bangsa itu lebih ramai dari kaum lain.

“Saya hendak tanya DAP dan pucuk pimpinan parti ini, apakah mereka setuju dengan analisa dan pendekatan Tommy ini? Kalau tidak setuju sila buat kenyataan. Saya rasa isu perkauman seperti ini tidak menguntungkan, ia lebih banyak menimbulkan masalah.

“Mana-mana bangsa sekali pun, baik Cina, India mahupun Melayu ada yang berguna, ada yang tidak berguna tetapi jangan pukul rata kata kerajaan ini gagal kerana kerajaan Melayu,” katanya.

Pada masa sama, beliau memuji ucapan seimbang pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Jeyakumar yang tidak menyalahkan Melayu dalam isu perkauman kerana ia juga turut dicetuskan oleh kaum lain.

“Bezanya dalam forum yang sama, Dr. Jeyakumar kata isu perkauman ini jangan salahkan Melayu sahaja, ia timbul daripada semua pihak yang terlibat dalam kancah politik Malaysia.

“Dia juga menyebut mengenai ekonomi, perindustrian, industri kecil dan sederhana (SME) yang dibolot sebanyak 95 peratus oleh orang Cina sehinggakan timbul persoalan daripadanya, apakah pekerja di industri kecil dan sederhana ada orang Melayu?

“Jadi, perkauman ini memang wujud tapi kalau nak salahkan orang Melayu dan kepimpinan Melayu saja tidak betullah,” katanya.

Sehubungan itu, bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu mengingatkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO agar tidak berteriak bubar Parlimen sahaja sebaliknya memikirkan kepimpinan yang akan menerajui kerajaan selepas ini.

“Kepada BN dan UMNO, saya harap kita bukan saja berteriak nak bubar, bubar, bubar. Kita juga perlu berteriak kepimpinan kita, kerajaan yang akan ditubuhkan dan apakah keutamaan yang akan kita berikan.

“Melayu yang macam mana kita akan ketengahkan, Cina dan India yang macam mana akan diketengahkan.

“Kita mesti mencari satu parti untuk membentuk kerajaan yang bertanggungjawab, yang berfungsi dan boleh melakukan yang hebat untuk rakyat Malaysia. Itu tanggungkawab kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette