PUTRAJAYA – Kerajaan digesa memanggil mesyuarat tergempar ASEAN melibatkan semua pemimpin bagi membanteras isu pemerdagangan manusia serta usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang dijadikan buruh paksa oleh sindiket di Myanmar, Kemboja dan Laos.
Bekas Ketua Polis Negara yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan menegaskan, perkara itu tidak boleh dipandang enteng kerana ia merupakan satu jenayah yang tidak berperikemanusian hingga mengancam nyawa mangsa.
“Jadi menerusi platform ASEAN, semua ketua-ketua negara akan dipanggil dan perlu diberitahu berkaitan masalah yang berlaku di negara mereka dan di sini kita mahu semua rakyat Malaysia yang ditindas berjaya diselamatkan serta dibebaskan.
“Negara kita ada undang-undang sendiri iaitu undang-undang berkaitan perdagangan manusia. Kita tidak mahu ada pihak yang menangguk di air yang keruh, di mana mereka pula cuba menjadi orang tengah dan meminta wang ringgit daripada keluarga mangsa.
“Kononnya ingin membantu mangsa keluar dari sana dan ini adalah satu keadaan yang mana mereka cuba meraih kewangan daripada kesusahan orang lain. Saya ingin beritahu pada semua jangan tertipu dengan perkara ini terutama mereka yang berumur bawah 40 tahun,” katanya dalam sidang media bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.
Antara NGO yang terlibat pada sidang media yang sama adalah Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Pertubuhan Kebajikan Islamiah Al Ehsan (AL Ehsan) dan Pertubuhan Arah Kebajikan Insan (PAKIN).
Terdahulu, mereka mewakili 30 ahli keluarga mangsa hadir ke Pejabat Perdana Menteri di sini untuk menyerahkan Memorandum memohon pihak kerajaan membantu untuk campur tangan menyelesaikan isu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.
Tambah Musa, pihaknya memohon agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera bertindak menghalang warganegara berumur 40 tahun kebawah untuk pergi melawat atau bekerja ke negara yang dipercayai menjadi laluan sindiket pemerdagang manusia.
Antara negara yang terlibat adalah Thailand, Myanmar, Kemboja dan Laos termasuk Dubai kerana dibimbangi akan diculik kemudian dijadikan buruh paksa, dipaksa menjual organ serta dijadikan pelacur terutama wanita.
“Bagi saya, tindakan ini perlu dibuat agar perkara ini tidak berlaku lagi kepada rakyat kita sendiri. Saya juga memohon kerajaan agar mengambil tindakan tegas termasuk pihak polis berhubung sindiket pemerdagangan manusia.
“Saya telah menghubungi polis bahawa kita ada ASEAN Desk di Bukit Aman yang mana dulu saya telah meletakkan di setiap wakil polis ASEAN ada di sana untuk dapatkan maklumat daripada mereka bagi mengetahui siapakah sindiket yang berada di negara kita sendiri.
“Terutama individu yang mengatur kegiatan jenayah ini supaya mereka segera ditangkap dan tidndakan diambil. Oleh itu, saya akan mengumpulkan semua maklumat yang diterima dan serahkan pada pihak polis untuk ambil tindakan tegas pada sindiket itu.
“Kita juga akan bawa semua ahli keluarga mangsa ini ke balai polis dan Bukit Aman untuk diambil kenyataan agar siasatan dapat dijalankan dengan cepat bagi menyelamatkan rakyat kita yang berada di sana dan itu perjanjian kita untu membantu mereka ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette