KUALA LUMPUR – Pendidikan peringkat universiti secara percuma boleh dilaksanakan dengan menubuhkan Universiti Awam yang dikendalikan secara dalam talian sepenuhnya.
Ketua Pemuda parti itu, Na’im Brundage berkata, seperti sektor lain, pendidikan juga tidak terlepas daripada terkesan dengan norma baharu akibat pandemik Covid-19.
Buktinya pada hari ini, sistem pembelajaran tidak lagi terikat dengan kehadiran fizikal semata-mata.
“Platform atas talian seperti Zoom, Microsoft Teams, dan Google Meet adalah percuma untuk digunapakai untuk menambahkan capaian pembelajaran yang sebelum ini terhad di dalam bilik kuliah,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengambil serius cadangan ini kerana graduan negara berada di dalam keadaan terdesak dengan kesukaran mencari pekerjaan dalam masa yang sama terpaksa bergelut dengan hutang pendidikan.
“Kadar pengangguran yang tinggi, gaji yang tidak setimpal, dan hutang pendidikan yang menggunung terus membelenggu golongan ini.
“Jika tiada tindakan segera diambil oleh Kerajaan Persekutuan, Pemuda PBM khuatir situasi graduan yang kini amat malap hanya akan bertambah gelap,” tambahnya.-MalaysiaGazette