Mohd Fared (tengah) menyampaikan replika cek kepada surau dan masjid di Johor untuk kegunaan mereka hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor kini dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar melibatkan 120 masjid dan 130 sekolah agama di negeri itu.

Usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd. Fared Mohd Khalid.

Bagaimanapun pemasangan wifi percuma di 120 masjid adalah berdasarkan lokasi yang bersesuaian dan mempunyai keupayaan jalur lebar, katanya.

“Untuk peringkat awal bukan semua masjid dan surau akan dipasang wifi. Kita lakukan berperingkat. Kalau tanya kenapa dilakukan berfasa? Jawapannya kerana ia melibatkan kos.

“Sudah pasti kerajaan negeri juga harus meneliti dan mengkaji terlebih dahulu sebelum menetapkan lokasi sesuai,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus di Masjid Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Malah menurut Fared, kemudahan jalur lebar percuma di sekolah agama di Johor ia akan dimulakan dengan membabitkan 50 sekolah agama gred A dan 80 sekolah agama gred B di Johor.

Ia bertujuan nembolehkan sistem Johor Pendidikan Islam Digital (JPID) Albayen dapat diperkasakan dengan sistematik.

“Dalam sistem aplikasi ini ibu bapa pelajar boleh semak kerja sekolah, kehadiran, markah peperiksaan dan yuran anak mereka.

“Terdapat 583 Sekolah Agama di seluruh Johor. Sekolah gred A ialah sekolah yang mempunyai 1,000 murid ke atas, manakala Sekolah gred B mempunyai 500 hingga 1,000 murid,” katanya.

Ditanya mengenai program sesi libat urus yang disertainya hari ini, beliau memberitahu, sesi berkenaan antara lain bertujuan ingin melihat keperluan sebenar masyarakat khususnya di Johor sendiri.

“Sudah pasti perjumpaan saya masuk kali keenam ini banyak mendengar idea masyarakat dalam keperluan mereka. Contohnya seperti tadi ada yang memberi idea supaya kawasan masjid dibina kawasan rekreasi bagi tujuan menarik minat anak muda.

“Jika dilihat keperluan wifi pada hari ini juga sememangnya penting dan saya harap orang ramai dapat memanfaatkan sebaik mungkin dengan kelebihan yang kerajaan negeri akan beri,” katanya.-MalaysiaGazette