TANGGAPAN umum, apabila seseorang mahasiswa telah menamatkan pengajian dan bergelar graduan, sudah pastilah mereka akan bekerja dan memasuki alam pekerjaan sesuai dengan kelulusan yang dimiliki serta bidang pengajian yang diikuti. Jika kita membincangkan keusahawanan sebagai kerjaya para graduan, ada sesetengah pihak beranggapan ia sebagai kerjaya pilihan terakhir disebabkan graduan tersebut sukar untuk mendapatkan pekerjaan ataupun disebabkan pencapaian pengajian yang kurang cemerlang sewaktu bergelar mahasiswa.
Sebenarnya, kerjaya dalam bidang keusahawanan merupakan kerjaya yang menarik dan cabaran yang menanti para graduan akan menjadikan mereka individu yang lebih baik dan berdaya saing. Kerajaan tidak melupakan mahasiswa dan graduan yang meminati bidang keusahawanan, di mana sebagai persediaan dan memupuk minat mahasiswa terhadap keusahawanan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2016-2020 telah diperkenalkan. Kesinambungan usaha ini ialah pelancaran Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) 2021-2025 pada Februari 2019 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Jika dilihat pada situasi kini negara, kemelut yang berlaku pada ketika ini, seperti ramai pekerja yang diberhentikan oleh pihak syarikat, mahasiswa bergraduat sukar mendapatkan pekerjaan, gaji dibayar separuh dari yang sepatutnya, kemiskinan bandar dan sebagainya. Kelangsungan hidup bagi golongan yang terjejas ini perlu sama-sama diatasi dan salah satu cara adalah dengan menggalakkan kemahiran keusahawanan. Menceburi bidang perniagaan dan menjadi usahawan merupakan pekerjaan yang terpuji. Ini kerana perniagaan merupakan antara sumber rezeki seseorang peniaga. Menjadikan perniagaan sebagai satu karier dapat menjamin sosio-ekonomi sesebuah keluarga terutamanya keluarga asnaf dan juga negara.
Golongan graduan diingatkan supaya tidak menjadikan bidang perniagaan sebagai pilihan terakhir untuk mereka mencari sumber pendapatan. Kini ramai graduan terjejas teruk dan kebanyakan yang terkesan terpaksa mengambil jalan memulakan perniagaan demi sesuap nasi. Sama ada menjadikan perniagaan sebagai pilihan terakhir sebagai sumber pendapatan, sekadar minat atau sekadar menjadikan perniagaan sebagai satu bidang kerjaya, yang penting untuk menetapkan hala tuju sebelum memilih perniagaan sebagai satu bidang kerjaya.
Merujuk sumber daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, pada 10 Januari 2022, bagi kategori penduduk yang menjalankan perniagaan atau bekerja sendiri, sebahagian besarnya terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit, penjaja, penjual di pasar dan gerai serta pekebun kecil terus meningkat pada bulan November sebanyak 0.8 peratus kepada 2.63 juta orang (Oktober 2021: 2.61 juta orang).
Keusahawanan mendepani digitalisasi
Dewasa ini, banyak perbincangan berlaku mengenai digitalisasi. Jika sebelum ini mahasiswa didedahkan dengan teori-teori pemasaran, perniagaan, keusahawanan dan pelbagai lagi cabang ilmu keusahawan menerusi buku teks ataupun pembacaan. Keusahawan digital pula merupakan garapan terkini selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan ledakan media sosial pada masa kini. Transformasi ke perniagaan berasaskan digital bukan lagi pilihan tetapi keperluan bagi perniagaan untuk mengekalkan daya saing di era pandemik.
Mahasiswa dan graduan tidak dapat tidak, perlu melengkapkan diri mereka dengan kompetensi keusahawanan digital ini. Jika mereka menolak digitalisasi dan tidak mahu terlibat dengannya serta selesa dengan pemasaran dan keusahawanan cara lama, dibimbangi mereka akan ketinggalan berbanding pesaing yang meneroka ruang dan peluang dalam keusahawanan digital ini. Bagi sesetengah mahasiswa dan graduan, keusahawanan digital ini dilihat terlalu teknikal, sukar dipelajari, leceh dan memerlukan masa tambahan untuk belajar, seterusnya menjadi mahir. Mahasiswa dan graduan perlu mengambil semangat ‘alah bisa tegal biasa’ dan cekal dalam menguasai keusahawanan digital ini.
Graduan perlu menggunakan medium internet atau perniagaan dalam talian (online business) dengan yang baik khususnya kepada graduan yang ingin menjana pendapatan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa. Mereka boleh beroperasi dari mana-mana sahaja, di rumah atau di luar rumah, pada waktu khusus atau antara waktu lapang yang mereka miliki, menggunakan modal perniagaan yang tinggi atau sebaliknya. Untuk berkecimpung dalam perniagaan tidak kira dalam talian atau secara tradisional ianya menuntut para graduan untuk memiliki kemahiran tidak hanya berupa ‘hardskill’ namun perlu juga ‘softskill’. Mampu berkomunikasi dengan baik, mempunyai kemampuan penyelesaian masalah, serta kreatif dan inovatif merupakan beberapa contoh ‘softskill’ yang harus dimiliki seseorang graduan yang ingin melibatkan diri di dunia perniagaan pada era digital ini.
Perkembangan dunia digital tidak menutup kemungkinan terjadinya kolaborasi baru di berbagai bidang pekerjaan dalam perniagaan. Malahan pada masa ini masyarakat sudah menerapkan teknologi digital dalam pelbagai aspek kehidupan mereka. Jenis perniagaan yang sebelumnya tidak pernah terfikir akan muncul seiring dengan keperluan masyarakat terhadap kemajuan bidang teknologi tersebut tersebut.
Peranan penasihat akademik
Penasihat Akademik merupakan pihak yang paling rapat dengan seseorang mahasiswa sewaktu dalam tempoh pengajian. Daripada mahasiswa tersebut menjejakkan kaki ke kampus dan fakulti, hingga kepada semester akhir. Selain memberikan nasihat akademik, seorang Penasihat Akademik juga boleh berperanan dalam mempromosikan keusahawanan sebagai kerjaya terhadap mahasiswa di bawah jagaan. Jika ada dalam kalangan mahasiswa dalam jagaan yang menunjukkan minat terhadap keusahawanan, Penasihat Akademik boleh memberikan nasihat dan bimbingan bersesuaian serta menyalurkan ruang dan peluang mengikuti latihan keusahawanan kepada mahasiswa tersebut sejak awal.
Selain itu, jika Penasihat Akademik mendapati ada mahasiswa di bawah jagaan yang kurang cemerlang dalam akademik, beliau boleh memperkenalkan bidang keusahawanan sebagai alternatif yang bagus kepada mahasiswa lebih awal, sesuai dengan prinsip ‘melentur buluh dari rebungnya’. Asalkan mahasiswa tersebut bersedia untuk bergelar seorang usahawan setelah bergraduat setelah mengumpul sebanyak mungkin ilmu tentang keusahawanan serta kompetensi yang diperlukan.
Peranan unit kerjaya dan kaunseling
Kita biasa melihat peranan Unit Kerjaya dan Kaunseling dalam mempersiapkan seseorang mahasiswa untuk melangkah ke alam pekerjaan. Penganjuran program seperti Klinik Kerjaya, Bengkel Resume, Program Bersama Industri hinggalah kepada Program Temuduga Dalam Kampus semuanya berorientasikan pekerjaan dan matlamat akhir supaya graduan benar-benar bersedia untuk bersaing dalam alam pekerjaan.
Memupuk dan memajukan kerjaya dalam bidang keusahawanan merupakan peranan baru yang boleh diambil secara serius oleh Unit Kerjaya dan Kaunseling di setiap institusi pendidikan. Sebagai bonus, mereka juga boleh memberikan motivasi ataupun kaunseling kerjaya keusahawanan kepada mahasiswa yang mempunyai minat dan cenderung untuk bergelar seorang usahawan setelah bergraduat.
Peranan pusat Keusahawanan di universiti
Kementerian Pengajian Tinggi telah melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK IPT) 2021–2025 dan Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu IPT atau MOHE Guide to Entrepreneurship Integrated Education (EIE) bagi mendukung kelestarian agenda keusahawanan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan IPT. Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021– 2025 bermatlamatkan untuk mentransformasikan landskap keusahawanan di IPT daripada keusahawanan yang berasaskan keperluan kepada yang berasaskan peluang.
Peranan utama Pusat Keusahawanan di Universiti adalah untuk :
• Mewujudkan ekosistem keusahawanan di Universiti melalui panduan dan kerangka kerja yang jelas berdasarkan garis panduan pelaksanaan program atau inisiatif, supaya semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan tanggungjawab melalui peranan yang diberi.
• Meningkatkan jumlah pelajar UiTM yang menceburi bidang keusahawanan termasuk keusahawanan berteraskan teknologi dan inovasi semasa dan setelah tamat pengajian, termasuk penubuhan syarikat pemula pelajar berasaskan teknologi dan inovasi yang dipacu secara digital.
• Memberi peluang kepada syarikat pelajar untuk merancang, mengurus dan mengendalikan syarikat melalui bimbingan bersama oleh staf secara praktikal dan realistik ke arah melahirkan usahawan sebenar.
• Menjadi penghubung atau hab berpusat kepada pihak-pihak berkepentingan melalui penawaran dan permintaan kerja yang berhubung kait dengan keusahawanan
Ekosistem Keusahawanan
Universiti bertanggungjawab menyediakan ekosistem keusahawanan untuk menggalakkan pelajar memperkasakan kemahiran teknologi dan inovasi melalui penglibatan syarikat pelajar dalam aktiviti perniagaan di Universiti.
Konsep Pelaksanaan
Pelajar akan diberikan galakan serta bimbingan untuk menubuhkan syarikat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau melalui pendaftaran pernigaan di universiti dengan melengkapkan syarat-syarat yang diperlukan untuk menjadi sebuah syarikat berkelayakan untuk menyertai peluang perniagaan di Universiti. Program-program Keusahawanan yang dirancang akan melibatkan penglibatan pelajar sama ada sebagai pemilik syarikat atau sebagai pekerja kepada syarikat pelajar yang diberikan peluang perniagaan dalam Universiti.
Penerapan ilmu dan budaya keusahawanan di peringkat awal pengajian dapat membolehkan bakal siswazah untuk melihat pilihan kerjaya yang boleh diterokai. Peranan universiti adalah penting untuk mengubah ‘mindset’ pelajar dan graduan daripada menjadi pencari kerja kepada mewujudkan pekerjaan selain pembangunan pembelajaran keusahawan perlu dipertingkatkan untuk mencetus minat pelajar dalam bidang keusahawanan.
Bidang keusahawanan sangat penting dan perlu diberi perhatian kerana ia bertindak sebagai pemangkin kepada ekonomi negara. Usahawan merupakan golongan yang penting dan diterima oleh masyarakat dan negara. Terdapat ramai bekas graduan yang masih menganggur atas sebab tidak mempunyai pekerjaan dan masalah ini boleh diatasi dengan menjadikan bidang keusahawanan sebagai satu minat dan kerjaya. Secara kesimpulannya, penglibatan mahasiswa atau pelajar di dalam bidang keusahawanan akan memajukan negara sejurus dengan wawasan Malaysia tahun 2020.
Kerajaan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menawarkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) kepada graduan kursusnya golongan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa secara percuma di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 bagi menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan. Melalui skim ini usahawan kumpulan B40 hanya perlu melampirkan pengesahan penerimaan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) dan bagi pelajar IPT sepenuh masa hanya perlu melampirkan salinan surat perakuan pelajar dari IPTA/IPTS. Semasa dalam pengajian, di UiTM contohnya telah menyediakan dana sebagai galakan kepada pelajar untuk memulakan perniagaan, pinjaman sehingga RM3,000 dari Tabung Keusahawanan Siswa.
Nilai keusahawanan ini perlu diterap dalam jiwa dan hati pelajar semasa mereka berada di universiti dan ini dapat mendidik set minda keusahawan dalam kalangan graduan selepas mereka menamatkan pengajian. Peranan universiti juga penting dalam usaha untuk memastikan 90% kebolehpasaran graduan dapat dicapai dengan sasaran khusus sebanyak 10% bagi mereka yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan global sebagai usahawan. Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM Shah Alam telah mengambil langkah yang proaktif dengan membina kemahiran dan minat pelajar melalui sistem keusahawanan yang kondusif melalui zon perniagaan pelajar seperti mewujudkan program start-up, inkubator perniagaan dan peluang sangkutan di syarikat-syarikat kecil sederhana yang menyokong perniagaan milik pelajar. Kini, UiTM telah melahirkan seramai 943,450 graduan yang memenuhi pasaran dalam pelbagai bidang ilmu.
Rajah 1 : Kadar Kebolehpasaran Graduan dan Status Pekerjaan Tahun 2020
Rajah 1, secara keseluruhannya, kadar kebolehpasaran graduan warganegara bagi tahun 2020 adalah 84.4 peratus dengan 60.0 peratus bekerja, diikuti 17.8 peratus melanjutkan pengajian, 4.6 peratus menunggu penempatan pekerjaan dan 2.0 peratus sedang meningkatkan kemahiran.
Universiti perlu mengambil inisiatif dengan mewujudkan satu program ‘Job Creation’ sebagai pendedahan kepada graduan bagi menghadapi cabaran dalam mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sebagai ‘entrepreneur’ di dalam era endemik Covid-19 ini. Untuk berkecimpung dalam perniagaan tidak kira dalam talian atau secara tradisional ianya menuntut para graduan untuk memiliki kemahiran tidak hanya berupa ‘hardskill’ namun juga ‘softskill’.
Kesimpulannya, untuk mendepani situasi semasa, strategi pekerjaan perlu berubah. Graduan perlu bersifat kreatif mencipta pekerjaan atau perniagaan. Graduan perlu diberi pendedahan dan bimbingan sebelum tamat pengajian bagi menghadapi risiko pada masa akan datang. Pendedahan pengetahuan dalam perniagaan menjadikan pelajar lebih kreatif dan inovatif dalam mencipta pekerjaan. Graduan tidak perlu tergesa-gesa untuk mencari pekerjaan sebaliknya menjadi pencipta peluang pekerjaan dengan menceburi bidang keusahawanan.
Intan Syazlina Mohd Ali merupakan Penolong Pendaftar Kanan di Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi MARA
Mohammad Sufian Abdul Manan merupakan Penolong Pendaftar Kanan di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA