MELAKA – Seorang Pengarah Bahagian Pengurusan Fasiliti sebuah universiti awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, di sini, petang ini bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima rasuah sebuah kereta bernilai lebih RM170,000.
Pengarahnya, Mohd Shahril Che Saad berkata, lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang di Pejabat SPRM Melaka di Alai selepas hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 i-vtec yang dianggarkan berjumlah RM174,500 daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor.
“Tindakan itu adalah sebagai dorongan untuknya memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, perintah tahanan reman terhadap suspek akan dilakukan esok di Mahkamah Majistret Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette