Pengundi muda beratur bagi membuat undian di pusat mengundi DUN Maharani pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Sekolah Kebangsaan Ismail (1) Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

Pilihan raya merupakan satu bentuk demokrasi yang diamalkan hampir di setiap negara di seluruh dunia. Mengundi dan menawarkan diri sebagai calon dalam pilihanraya merupakan sebahagian daripada proses demokrasi. Sebagai salah sebuah negara demokrasi berpelembagaan, setiap warga negara Malaysia bebas dan bertanggung jawab untuk memilih pemimpin yang akan mentadbir negara. Pemilihan pemimpin yang tepat sudah pasti akan menjamin kemakmuran sesebuah negara.

Pilihan raya umum dijalankan bagi memilih calon yang sesuai untuk mewakili rakyat di parlimen. Pilihan raya umum dijalankan secara berpenggal iaitu selama 5 tahun bagi setiap penggal. Pilihan raya umum yang terakhir diadakan pada tahun 2018 dan berkemungkinan besar akan diadakan buat masa terdekat, dalam tahun 2022 ini. Generasi muda merupakan individu yang berumur di antara 15-40 tahun. Umur belia merupakan peringkat umur perubahan dari seorang yang bergantung kepada seorang untuk berfikir dan bertindak bebas (independent).

Generasi muda juga merupakan peringkat di mana seseorang itu mula menghadapi cabaran yang memaksa dalam membuat keputusan tentang kehidupannya. Dengan daya upaya tenaga yang tinggi, keperluan dan harapan yang tinggi, maka belia boleh mengubah bukan sahaja kehidupannya sendiri tetapi juga masyarakat dan persekitarannya. Dalam usaha untuk memperkenalkan demokrasi dan sistem pemilihan pemimpin, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil peranan dengan memperkenalkan subjek pilihan raya dalam kurikulum di sekolah menengah.

Antara subjek yang telibat ialah Pengajian Am, Sejarah dan Pendidikan Sivik. Bagi Pengajian Am, topik 2.2.3 demokrasi dan pilihan raya di ajar awal semester satu. Dalam subjek sejarah tingkatan empat pula, topik 11. 2 pilihan raya membincangkan
kepentingan pilihan raya sebagai lambang demokrasi. Manakala dalam Pendidikan Sivik, di bawah nilai bertanggungjawab ada membincangkan sistem demokrasi berparlimen. Pada tanggal 17 Julai 2019, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) perkara 119 (1) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

RUU yang diluluskan ini turut mengandungi cadangan pendaftaran pengundi secara automatik untuk warganegara yang mencapai umur 18 tahun dan warganegara yang berumur 18 tahun turut layak bertanding dalam pilihan raya. Kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan ini melakar sejarah kerana RUU yang dibentangkan mendapat sokongan daripada kedua-dua blok parti pemerintah dan pembangkang dalam Dewan Rakyat.Selari dengan pindaan perlembagaan ini, beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 perlu dibuat bagi melaksanakan dan menguatkuasakan pindaan berkenaan.

Kerajaan menjangkakan seramai 7.8 juta pengundi baharu dimasukkan ke dalam daftar pemilih setiap tahun sehingga tahun 2023. Dianggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi
sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14. Jumlah pengundi yang dianggarkan itu adalah mengambil kira individu yang berumur 14 tahun pada tahun 2022. Namun, isu penurunan had umur ini memberi satu polemik kepada masyarakat berkenaan kesediaan generasi muda yang berumur 18 tahun untuk membuat keputusan. Apabila had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, ramai yang mempersoalkan kematangan generasi ini dalam membuat keputusan mahupun sebagai calon pemimpin.

Beberapa persoalan seringkali diutarakan antaranya ialah “Benarkah generasi muda tidak berminat untuk terlibat dan hanya akan mengundi mengikut emosi serta mudah diperalatkan?” dan “Benarkah kematangan mereka tidak didatangkan dengan rasional atau alasan yang munasabah?”.Walau bagaimanapun, individu berumur 18 tahun telah melayakkannya untuk membayar cukai, memohon lesen perniagaan, memohon pinjaman kewangan, menyertai pasukan polis dan tentera tentera, mempunyai keluarga sendiri dan menandatangani sebarang kontrak. Jadi, umur 18 tahun sebenarnya sudah boleh diberi
tanggungjawab yang serius mengikut perundangan negara terutama dalam pemilihan pemimpin dalam pilihan
raya.

Selain itu, pengetahuan anak muda dalam politik masih lagi dipersoalkan sekiranya mereka diberi mandat sebagai pemilih dalam pilihan raya. Ada yang beranggapan usia 18 tahun masih tidak tahu mengenai soal mengundi dan mereka sekadar mengundi sahaja serta tidak tahu kepentingan mengundi untuk dirinya, masyarakat dan negara. Namun, pengetahuan dan kefahaman mengenai hak mengundi harus diberi fokus secara tuntas. Ini kerana pengetahuan terhadap amalan demokrasi, hak dan tanggungjawab sebagai pemilih calon pemimpin merupakan pemboleh ubah yang sangat penting dan mempengaruhi tingkah laku pemilih kelak.

Kematangan pemikiran ialah proses membuat keputusan secara rasional bagi mempercayai atau melakukan sesuatu. Dalam memilih seseorang calon pilihan raya, generasi muda perlulah matang bagi memilih calon yang benar-benar layak. Bagi
mengupas isu ini, Teori Pilihan Rasional digunakan untuk menilai tahap kematangan pengundi dalam membuat keputusan. Teori pilihan rasional telah diperkenalkan oleh Anthony Down (1957) dalam karyanya “An Economic Theory of Democracy”. Prinsip asas Teori Pilihan Rasional berasal daripada ekonomi neoklasik dan merupakan tindakan rasional daripada individu atau pengundi untuk melakukan sesuatu tindakan berdasarkan tujuan tertentu dan tujuan itu ditentukan oleh nilai atau pilihan.

Teori Pilihan Rasional ini adalah berdasarkan kepada perhatian individu atau pengundi. Pengundi dilihat sebagai individu yang mempunyai tujuan atau maksud tertentu dan tindakannya bertumpu pada keupayaan untuk mencapai tujuan tersebut. Terdapat dua daya penarik kepada pengundi iaitu faktor isu dan faktor calon. Faktor isu ini adalah berdasarkan kepada manifesto seseorang calon untuk membantu rakyat, manakala faktor calon pula adalah berkaitan dengan keperibadian serta personaliti calon tanpa melihat parti yang disertainya. Maka, di sinilah para pengundi akan menentukan pilihannya berdasarkan pertimbangan rasional.

Pengundi dilihat sebagai individu yang mempunyai tujuan atau maksud tertentu dan tindakannya bertumpu pada keupayaan untuk mencapai maksud tersebut. Melalui pendekatan pilihan rasional, faktor yang menentukan kejayaan dalam pilihanraya
bukanlah tahap kebergantungan terhadap ikatan sosial atau keterikatan parti yang kuat, tetapi fokusnya kepada hasil penilaian rasional daripada pengundi yang baik. Sebagai contohnya, calon pemimpin popular yang bertanding dalam pilihan raya jarang diikuti oleh para pengikutnya jika mereka mendapati secara rasionalnya tidak menguntungkan mereka sebagai pengundi. Beberapa indikator yang biasanya digunapakai oleh pengundi untuk menilai seseorang calon termasuklah kualiti kepemimpinan, kompetensi, integriti calon dan isu semasa yang relevan dengan masalah rakyat.

Faktor media sosial juga memainkan peranan yang penting dalam membuat keputusan pengundi. Bersesuaian dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, generasi muda banyak terdedah dengan media sosial seperti Facebook, Youtube dan Twitter. Maka, kelebihan kepada calon pemimpin yang memahami selok-belok berkempen cara baharu di media sosial amatlah diperlukan. Setiap manifesto yang dicanangkan di media sosial boleh disalurkan kepada setiap pengundi di seluruh dunia dengan sepantas kilat. Ini secara tidak langsung dapat menarik dan meyakinkan ramai pengundi terutamanya generasi muda tentang hasrat mereka sebagai calon dan pemilih.

Malah, interaksi antara calon muda dengan pemilih muda amat berkesan dalam media sosial. Ramai pemimpin senior negara masih kurang aktif dalam media baru atau media sosial ini. Oleh itu, interaksi pemilih dan pengundi muda dan pemimpin senior agak terbatas. Setiap warga negara Malaysia bertanggung jawab untuk memilih pemimpin yang
dapat mentadbir negara melalui pilihan raya yang dilaksanakan setiap lima tahun. Malah, golongan muda juga sepatutnya diberi pendedahan mengenai sistem demokrasi dan bagaimana proses pilihan raya dijalankan di Malaysia.

Generasi muda adalah generasi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan. Mereka merupakan aset terpenting kepada negara dalam menjana pembangunan. Dari segi politik, orang muda merupakan satu entiti yang sering cuba disantuni sama ada
kerajaan mahupun pembangkang bagi memenangi pilihanraya. Penglibatan orang muda dalam pembentukan landskap politik tempatan tidak dapat dinafikan. Ia bukan sahaja berlaku dalam negara ini, tetapi merebak ke seluruh dunia. Semoga generasi
muda ini dapat memilih dan memimpin dalam pilihanraya secara bertanggungjawab demi masa depan negara.

Oleh: Dr. Muhamad Ikhwan Mat Saad
Pensyarah Kanan di Jabatan Biologi
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

 

Dr. Mohd Mokhzani Ibrahim
Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

 

Dr. Mohamad Termizi Borhan
Pensyarah Kanan di Jabatan Biologi
Fakulti Sains dan Matematik
Universiti Pendidikan Sultan Idris

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast