KUALA LUMPUR – “Sejujurnya ia satu penghormatan untuk saya menjadi rakyat Malaysia. Saya di sini kerana mendapat sokongan orang di sekeliling. Tanpa mereka saya tidak akan berada di tempat saya berada,” kata pemain import Sri Pahang, Sergio Aguero.
Pemain berusia 28 tahun itu sudah memiliki status warganegara Malaysia dan kini tidak sabar untuk mewakili Tok Gajah dalam saingan Piala Malaysia musim 2022.
Aguero melalui laman Instagramnya berkata, penghargaan wajar diberikan kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan pengurusan kelab sepanjang membantu proses mendapatkan status warganegara.
“Kuantan merupakan tempat paling istimewa untuk saya serta keluarga, malah saya berhasrat tinggal lama di sini.
“Saya jatuh hati dengan makanan, masyarakat yang sangat baik dan paling penting saya menemui ketenangan bersama keluarga.
“Tiada perkataan bagi menggambarkan betapa gembiranya saya dan tidak sabar untuk menyarung jersi emas dan biru dalam Piala Malaysia,” kata Aguero lagi.
Pada 8 September lalu, rayuan Sri Pahang FC untuk mendaftarkan pemain naturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia 2022 diluluskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
MFL memaklumkan keputusan tersebut dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL dan pendaftaran Tuck yang dilahirkan di Huddersfield, England serta Aguero dari Argentina, akan berkuat kuasa pada pertandingan Piala Malaysia 2022.
Sri Pahang sebelum ini mendaftarkan Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan dalam tempoh pendaftaran kedua pada 28 Mei hingga 24 Jun lalu. – MalaysiaGazette