KUALA LUMPUR – Presiden UMNO dan Presiden Pas didakwa teah membuat kenyataan politik terburuk dalam tahun ini, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.
Beliau berkata, kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kesediaannya untuk meredah banjir sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan semasa musim tengkujuh menunjukkan betapa tidak bertanggungjawab UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Mereka tidak peduli mengenai kebajikan rakyat semasa musim banjir dan tengkujuh, sebaliknya hanya mahu PRU-15 supaya kluster mahkamah dalam kalangan pimpinan UMNO dapat melepaskan diri dari hukuman penjara akibat kesalahan rasuah.
“Kelihatan seperti era di mana musim tengkujuh dianggap waktu yang tidak patut untuk mengadakan pilihan raya umum sudah tidak ada lagi – namun era tersebut adalah era di mana kebajikan rakyat masih dianggap sebagai penting berbanding dengan kebajikan pemimpin politik semata-mata,” katanya.
Sementara Tan Sri Abdul Hadi Awang pula menurut Kit Siang, mengeluarkan kenyataan kedua terburuk selepas menuduh ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘tidak beriman dan tidak bermoral’.
Beliau berkata, amat mengecewakan untuk melihat seorang pemimpin Islam dari sebuah negara majmuk seperti Malaysia membuat suatu kenyataan yang bersifat tidak rasional dan ekstremis.
“Sedangkan terdapat perkembangan toleransi dan kebebasan di negara-negara Timur Tengah dan negara-negara Islam yang lain.
“Tidak mengejutkanlah apabila Hadi diharamkan dari ke Arab Saudi dan beberapa negara OIC yang lain walaupun dia merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang bertaraf Menteri!
“Adakah perkara ini merupakan sebab mengapa dari mengetuai senarai negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berada dalam kedudukan tertinggi dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah Transparency International, kita sebaliknya di belakang lima negara OIC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, Malaysia berhadapan dengan suasana politik yang buruk apabila para pemimpin politik obses dengan kepentingan peribadi sendiri.
Mereka katanya, secara terbuka atau bersedia untuk menggunakan provokasi melalui penipuan dan fitnah untuk menjaga kepentingan politik masing-masing. – MalaysiaGazette