PETALING JAYA – Satu kajian pendapat yang dilakukan Sinchew Daily mendapati 78.9 peratus responden keturunan Cina menyatakan bahawa mereka akan mengundi semasa pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, lebih separuh responden juga tidak berharap pilihan raya dijalankan secara terlalu awal.
Kajian itu juga mendapati golongan orang muda berumur antara 21 hingga 30 tahun mempunyai niat mengundi paling rendah dengan 34.4 peratus tidak berhasrat mengundi.
Untuk pengundi paling muda antara 18 hingga 20 tahun pula, sebanyak 24 peratus menyatakan mereka tidak berniat untuk mengundi.
Sebanyak 83.3 peratus warga emas berumur 61 tahun ke atas pula menyatakan mahu mengundi sementara 81.6 peratus pengundi keturunan Cina yang berumur antara 41 hingga 50 tahun mahu mengundi.
Untuk pengundi berumur 31 hingga 40 tahun pula, sebanyak 81 peratus bersedia mengundi manakala bagi golongan berumur 51 hingga 60 tahun, 75.7 peratus menyatakan hasrat mengundi.
Kajian pendapat mengenai tarikh mengundi pula menunjukkan 15.6 peratus responden berpendapat pilihan raya harus diadakan segera kerana kerajaan semasa bukan kerajaan pilihan rakyat pada pilihan raya lalu.
Bagaimanapun, 77.2 peratus responden berpendapat masa kini bukan masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya atas beberapa sebab.
Daripada 77.2 peratus tersebut, 31.5 peratus berpendapat pilihan raya harus diadakan selepas semua negeri meluluskan undang-undang anti-lompat parti masing-masing.
26.8 peratus berpendapat kerajaan harus menyelesaikan pelbagai masalah rakyat dahulu dan bukannya mengadakan pilihan raya.
18.9 peratus pula berpandangan pilihan raya harus diadakan selepas Parlimen mencapai “tarikh matang” pada pertengahan tahun depan.
Selain itu, terdapat juga 6.9 peratus yang berpendapat pilihan raya boleh diadakan pada mana-mana tarikh selagi tidak bertembung dengan perayaan utama di Malaysia.
Seramai 760 responden terlibat dalam kajian pendapatan tersebut.