Anjing K9 Polis Diraja Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 28 OGOS 2018.

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan mangsa kedua dan bangkai sebuah lagi jengkaut yang dipercayai tertimbus dalam insiden runtuhan kuari pada Mac lepas di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri, Muhamad Shahrizal Aris berkata, operasi itu dijalankan susulan penemuan cebisan tulang dan baju dipercayai seorang daripada dua pekerja kuari yang tertimbus serta bangkai jengkaut pada pagi tadi.

“Kami menerima panggilan pada 10.20 pagi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai yang memaklumkan pekerja kuari menemui sebuah bangkai jengkaut.

“Kerja-kerja menggali runtuhan dijalankan sejurus kami tiba di lokasi kejadian bagi membawa keluar jengkaut tersebut dan kami menjumpai sisa tulang serta pakaian mangsa berhampiran dengan lokasi jengkaut ditemukan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Muhamad Shahrizal berkata, kerja-kerja mencari mangsa kedua akan dilakukan kira-kira 25 meter dari lokasi pencarian yang dijalankan oleh pihak pasukan mencari dan menyelamat sebelum ini.

“Operasi mencari mangsa kedua akan dijalankan selepas kerja-kerja letupan dijalankan bagi memecahkan bongkah batu kepada saiz lebih kecil bagi memudahkan kerja-kerja pencarian, di samping bergantung juga pada faktor cuaca,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata cebisan tulang dan rangka manusia yang ditemukan telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata proses bedah siasat itu bagi melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan pengesahan identiti mangsa.

Menurutnya operasi mencari dan menyelamat yang bermula hari ini diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan dengan dibantu JBPM Perak, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Perak.

Dalam kejadian pada 8 Mac lepas, dua pekerja kuari dipercayai tertimbus runtuhan batu, dikenali sebagai Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49. – Bernama