Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PULAU PINANG – Warisan menyampaikan salam perpisahan kepada Pakatan Harapan (PH) dengan menyatakan “sudah cukup” dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sudah sampai waktunya untuk Malaysia keluar daripada kemelut politik Mahathir dan Anwar untuk mara ke depan.

Beliau dipetik Kwong Wah Yit Poh sebagai berkata demikian ketika menerima wawancara media berbahasa Cina.

Mohd. Shafie berkata, Warisan akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang secara solo dan tidak akan berpakat terlebih dahulu dengan mana-mana kem politik.

Beliau bagaimanapun juga menyatakan apa pun boleh berlaku dalam politik dan Warisan akan tahu bagaimana menghadapi “khemah besar” yang ada apabila tiba waktunya.

Katanya, Warisan juga tidak akan bertengkar dengan mana-mana parti dan melihat DAP, PKR dan parti-parti lain sebagai kawan.

Tambahnya, Warisan terbuka untuk membentuk khemah besar dengan mana-mana pakatan atau parti selepas pilihan raya.

Mohd. Shafie berkata, partinya akan menumpu perhatian kepada tujuh negeri dalam pilihan raya iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor dan juga kawasan terpilih di Negeri Sembilan.

“Sebagai sebuah parti kecil, kami tidak boleh bertanding di semua kawasan, tetapi hanya akan menumpu perhatian kepada kawasan yang ada harapan untuk menang,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mohd. Shafie berkata, sasaran Warisan bukan untuk membentuk kerajaan negeri, tetapi untuk mentadbir Putrajaya.

“Memenangi lebih banyak kerusi Parlimen supaya dapat membentuk Kerajaan Persekutuan merupakan sasaran terbesar Warisan.

“Oleh itu, sasaran kami bukan Georgetown, tetapi Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shafie enggan mengesahkan spekulasi bahawa bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat akan menyertai Warisan dan meneraju “Warisan Semenanjung”.

“Anda akan tahu apabila tiba waktunya,” kata bekas Ketua Menteri Sabah itu.

Warisan pada masa ini telah membentuk barisan kepimpinan di semua negeri di Semenanjung kecuali Pahang dan Terengganu.