tommy
Tommy Thomas .- foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Cadangan Tan Sri Tommy Thomas supaya Pakatan Harapan (PH) yang mempersoalkan sama ada ‘kerajaan Melayu’ mampu menjadikan negara lebih baik sebagai satu sikap perkauman yang sempit.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan yang dibuat oleh bekas Peguam Negara itu tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Beliau menyatakan ‘kegagalan kerajaan Melayu’ ketika ini didominasi oleh orang Melayu. Beliau memuji kerajaan PH (Pakatan Harapan) pula sedangkan kerajaan PH 22 bulan dahulu ditadbir juga oleh orang Melayu.

“Malah ramai mereka kini berada dalam kerajaan PN (Perikatan Nasional). Mereka ini bukan sahaja Melayu terdapat juga etnik India, Cina dan Dayak.

“Maknanya Tommy terlalu obses, prejudis hingga melabel-labelkan etnik Melayu tanpa melihat perspektif yang menyeluruh dan luas,” kata Ahmad Zahid.

Beliau menambah, Tommy seolah-olah lupa bahawa sebanyak 69.8 peratus populasi di negara ini adalah penduduk berketurunan bumiputera.

Melalui statistik tersebut bermakna mana-mana parti politik tidak boleh mengabaikan etnik yang membentuk majoriti dalam apa-apa keputusan politik dan pembentukan kerajaan.

“Dari segi agihan jawatan Kabinet ia perlu mencerminkan dan berdasarkan jumlah populasi negara dan ini berlaku sejak dahulu hingga kini dan diterima secara menyeluruh dan menjadi amalan demokrasi tanpa mengabaikan etnik minoriti,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan Tommy bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik beliau sebagai Peguam Negara walaupun tidak fasih berbahasa Melayu disebabkan Malaysia sebuah negara yang harmoni dari segi perpaduan.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, sikap Tommy terhadap orang Melayu bukanlah baharu kerana ia telah dipaparkan dalam bukunya.

“Beliau tidak wajar menuduh secara pukal dan ini mencerminkan sikap prejudis beliau seolah-olah adanya sikap Malaymophobia. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu menolak sikap rasis yang boleh mengugat keharmonian kaum.

“Biarlah kita bersikap “di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung” dan hayatilah peribahasa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”,” kata Ahmad Zahid memberi ingatan.

Media sebelum ini melaporkan, Tommy mencadangkan tiga “perkara penting” perlu diberikan perhatian oleh PH dalam kempen mereka bagi mengulangi kejayaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Pertama, Tommy berkata, pembangkang perlu mewujudkan persoalan kepada pengundi sama ada mempunyai “kerajaan Melayu” yang menjadikan negara ini lebih baik dan cekap.

Beliau mendakwa, punca Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ke-7 kerana beranggapan kerajaan diterajuinya tidak “cukup Melayu”.

Dua setengah tahun kemudian, Kabinet didominasi orang Melayu dengan bukan Melayu diketepikan, katanya.

“Pengundi Melayu akan kata mereka (kerajaan Melayu) sudah gagal, jadi pembangkang mesti menjadikannya isu,” katanya dalam forum bertajuk Dark Forces Towards GE15 yang dianjurkan sempena pelancaran sebuah buku baru-baru ini. – MalaysiaGazette