KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan beroleh markah lulus dengan baik ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, malah lebih tinggi daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, merujuk kepada kajian Merdeka Centre for Opinion Research, 72 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi Muhyiddin pada Mei 2020 diikuti 74 peratus (Julai 2020), 73 peratus (September 2020), 67 peratus (November 2020), 63 peratus (Januari 2021), 68 peratus (April 2021) dan 57 peratus (Jun 2021).
Menurut beliau, markah purata Muhyiddin sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri sebelum meletakkan jawatan pada Ogos 2021 adalah 67 peratus.
“Muhyiddin lulus dengan baik sebagai Perdana Menteri walaupun pada ketika itu beliau memimpin negara mengharungi krisis kesihatan yang paling buruk dalam sejarah negara dan dunia, iaitu Covid-19.
“Beliau juga diasak dengan begitu teruk oleh musuh di luar dan di dalam selimut yang menyerang hendap beliau siang dan malam dengan tuduhan pengkhianat, kerajaan gagal, kempen bendera putih dan lain-lain lagi.
“Antara yang paling kuat menyerang hendap Muhyiddin ialah orang-orang dari UMNO iaitu parti Shahril Hamdan sendiri. Turut bersekongkol ialah para pendendam dari parti Pakatan Harapan (PH).
“Tetapi di sebalik semua tekanan, cercaan dan cacian orang-orang ini, Tan Sri Muhyiddin mendapat ‘markah’ lulus yang baik daripada rakyat. Alhamdulillah,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Marzuki mengulas kenyataan Shahril yang juga Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri yang meminta Muhyiddin supaya cermin diri sendiri apabila Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu mengatakan Ismail Sabri gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.
Sebagai perbandingan, beliau berkata, kajian sama mendapati tahap kepuasan hati rakyat terhadap Ismail Sabri adalah 50 peratus pada Oktober 2021, 48 peratus (Disember 2021), 49 peratus (Mac 2022), 48 peratus (April 2022), 40 peratus (Jun 2022) dan 35 peratus (Ogos 2022).
Marzuki menambah, markah Ismail Sabri telah menurun secara konsisten dengan purata 45 peratus.
“Tanpa niat untuk menjatuhkan air muka Perdana Menteri, markah di bawah paras 50 peratus ini adalah markah gagal. Beliau mendapat markah gagal secara konsisten sejak awal tahun ini.
“Berdasarkan data inilah Muhyiddin mengatakan Perdana Menteri gagal. Ini adalah penilaian oleh rakyat yang diperolehi menerusi kajian saintifik, bukan tuduhan melulu,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa MPN tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara kerana ia adalah sebuah majlis yang bersifat sebagai penasihat.
Marzuki memberitahu, kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara terletak pada Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Menurut beliau, Ismail Sabri mendapat markah gagal dalam keadaan beliau senang-lenang.
“Kes-kes Covid-19 tidak menggila seperti dulu, kehidupan rakyat kembali normal seperti biasa, ekonomi telah dibuka, sempadan negara telah dibuka dan politik pun stabil, kecuali gangguan suara-suara sumbang sekali-sekala dari kluster mahkamah dalam UMNO yang mahukan pilihan raya diadakan segera,” katanya.
Sebaliknya, Marzuki berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah menghentam Perdana Menteri, apalagi menjalankan kempen kerajaan gagal seperti yang dibuat oleh UMNO terhadap Muhyiddin dahulu.
Beliau berkata, DAP, PKR dan Parti Amanah Negara pun amat lunak hubungannya dengan Perdana Menteri dan mereka terlebih dahulu bangkit mempertahankan Ismail Sabri apabila diserang oleh kluster mahkamah.
“Dalam perkataan lain, Ismail Sabri can sit pretty as a Prime Minister.
“Kenapa dalam keadaan senang-lenang ini pun ‘markah’ Perdana Menteri amat buruk? Saya tiada jawapan kepada soalan ini,” katanya. – MalaysiaGazette