KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mempertikai kedudukan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) selepas beliau mendakwa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal sebagai Perdana Menteri.
Pengerusi DAP itu mencadangkan kepada Ismail Sabri supaya meminta Muhyiddin untuk meletakkan jawatan tersebut.
“Perdana Menteri boleh menghentikan ketidakstabilan yang disebabkan oleh kedua-dua kepimpinan yang berpecah-belah dan ketidakpastian tentang siapa yang bertanggungjawab dengan meminta bekas perdana menteri dan pendahulunya Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MPN kerana mempersendakan kegagalan Ismail menguruskan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Guan Eng juga menegaskan, apa gunanya Muhyiddin dikekalkan dalam jawatan tersebut jika cadangan beliau dan MPN tidak diendahkan dan diketepikan.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri menganggap ada keperluan untuk penggantinya Ismail Sabri membubarkan Parlimen secepat mungkin bagi memberi laluan kepada pembentukan kerajaan yang lebih efektif.
Beliau secara terbuka membidas kepemimpinan Perdana Menteri yang dilihatnya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.
Ismail Sabri kemudiannya membalas kenyataan Muhyiddin dengan menegaskan sekiranya beliau didakwa gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik maka kegagalan tersebut turut melibatkan MPN.
Perdana Menteri berkata, tanggungjawab daripada segi pengurusan ekonomi merupakan tanggungjawab bersama, malah kerajaan juga menerima nasihat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan MPN sendiri. – MalaysiaGazette
putaran roda…zahid dan geng 15 meratib kerajaan GAGAL/GAGAL GAGAL….kini baru seorang bersuara dah mula koyak dan kecut bila kena batang HIDUNG sendiri