KUALA LUMPUR – Lima individu, termasuk seorang wanita, hari ini ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan tuntutan palsu lebih RM27 juta untuk program latihan teknologi digital.
Kesemua dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dengan tangan bergari dan perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Menurut sumber, kelima-lima suspek yang berumur antara 37 hingga 50 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 8.30 malam semalam selepas memberi keterangan.
Katanya, kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kesalahan mengemukakan tuntutan palsu bagi program latihan berkaitan teknologi digital kepada sebuah agensi kerajaan sedangkan latihan berkenaan tidak dilaksanakan.
Sumber berkata, kes berkenaan dipercayai melibatkan dua syarikat yang telah dibayar tuntutan masing-masing berjumlah RM19,599,682 dan RM7,581,878 bagi menjalankan program latihan bagi tempoh 2016 hingga 2020.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai yang mengesahkan penahanan kesemua suspek berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette