Muhyiddin Yassin.- Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad perlu menasihatkan Ahli Parlimen Pagoh itu untuk segera ‘menekan butang’ agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dapat diadakan.

Saranan itu dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad selepas Marzuki mendakwa rakyat lebih berpuas hati dengan kepimpinan Presiden Bersatu itu berbanding Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Marzuki Mohamed kata approval rating untuk Tan Sri Muhyiddin pukul rata adalah 67%. Itupun Kerajaan Abah dikatakan kerajaan gagal.

“Marzuki sambung hujahan dengan mengatakan Datuk Seri Ismail Sabri hanya dapat ‘approval rating‘ 45% jauh lebih rendah dari Tan Sri Muhyidin.

“Apa nak tunggu lagi? Marzuki kena nasihat Tan Sri Muhyiddin untuk ‘tekan butang’,” kata Shahrir.

Marzuki Mohamad.

Menurutnya, Marzuki juga boleh meminta supaya ahli Parlimen Bersatu dan Perikatan Nasional untuk menarik sokongan secara beramai-ramai terhadap Ismail Sabri.

Secara sinis Shahrir berkata, Muhyiddin yang mendapat markah purata yang tinggi dengan mudah boleh menggalahkan Ismail Sabri dalam PRU-15.

“Tak hendak ‘tekan butang’, boleh juga ‘pull the plug‘, iaitu orang-orang PPBM dan PN yang ramai dalam Jemaah Menteri boleh tarik sokongan daripada Datuk Seri Ismail sebagai PM. Kan senang.

“PM 67% boleh dengan mudah mengalahkan PM 45% di PRU15 kan? Itu pun kalau Merdeka Centre pandai mengira,” kata Shahrir.

Marzuki dalam kenyataannya berkata, berdasarkan kajian Merdeka Centre for Opinion Research 72 peratus rakyat berpuashati dengan prestasi Muhyiddin pada bulan Mei 2020, 74 peratus (Julai 2020): 73 peratus (September 2020): 67 peratus (November 2020): 63 peratus (Januari 2021): 68 peratus (April 2021) dan 57 peratus (Jun 2021).

“Markah purata Muhyiddin sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri ialah 67 peratus. Ini adalah markah lulus dengan baik.

“Muhyiddin lulus dengan baik sebagai Perdana Menteri walaupun pada ketika itu beliau memimpin negara mengharungi krisis kesihatan yang paling buruk dalam sejarah negara dan dunia, iaitu Covid-19,” kata Marzuki.

Marzuki berkata, berdasarkan kajian yang sama terhadap Ismail Sabri, jelas perdana menteri memperoleh markah gagal.

“Beliau bermula dengan tahap kepuasan hati rakyat sebanyak 50 peratus pada bulan Oktober 2021: 48 peratus (Disember 2021): 49 peratus (Mac 2022): 48 peratus (April 2022): 40 peratus (Jun 2022) dan 35 peratus (Ogos 2022).

“Markah atau ‘approval rating’ Perdana Menteri telah menurun secara konsisten dengan purata 45 peratus. Tanpa niat untuk menjatuhkan air muka perdana menteri, markah di bawah paras 50 peratus ini adalah markah gagal,” katanya.

Marzuki menjawab kritikan Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan yang meminta Muhyiddin cermin diri terlebih dulu apabila mendakwa Ismail Sabri telah gagal.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast