GEORGE TOWN – Menyamar sebagai sami untuk mengutip derma, namun ia untuk kepentingan diri sendiri.
Itu taktik satu sindiket sami palsu warga asing yang dikesan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di beberapa pasar awam di negeri ini.
Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, John Ooh Sin Hwa berkata, kehadiran mereka disedari sejak beberapa bulan lalu di sekitar pasar awam selepas dimaklumkan oleh beberapa persatuan Buddha di negeri ini.
Jelas beliau, sami palsu itu didapati masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebelum dipercayai bergerak menerusi sindiket.
“Mereka muncul semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dan sehingga kini kami sudah menerima lebih 30 aduan daripada pelbagai pihak berhubung sindiket itu.
“Setiap hari, sekumpulan lelaki berkenaan menaiki sebuah kenderaan sebelum diturunkan di pasar awam dan bergerak ke lokasi masing-masing bagi meminta derma.
“Mereka didapati meminta wang daripada pengunjung bukan Islam di sekitar astaka dan pasar awam, bukan bagi tujuan kebajikan atau keagamaan,” katanya pada sidang media di Pasar Awam Jelutong di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Lancang, Oh Ah Teong.
Tambah Sin Hwa, pihaknya juga dimaklumkan hasil kerjasama Konsulat General Diraja Thailand dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membawa kepada penangkapan lima individu warga Thailand yang terbabit dengan sindiket itu pada 17 September lalu di Bukit Mertajam.
Sehubungan itu, jelas beliau, bagi mengekang aktiviti itu, MBPP bersama beberapa persatuan Buddha termasuk agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (HARMONICO), mengambil inisiatif memasang kain rentang sebagai pendedahan berhubung perkara berkenaan.
Katanya, setakat ini sebanyak 10 kain rentang dipasang di 10 lokasi yang dikenalpasti menjadi tumpuan sindiket berkenaan.
Antara pasar awam lain yang terbabit ialah Pasar Awam Chowrasta, Astaka Sungai Pinang, Astaka Lavender MBPP Sungai Ara, Pasar Awam Air Itam, Pasar Awam Jalan Anson dan Pasar Awam Jalan Kuantan.
“Kaedah ini sudah dibuat pada 2015 serta menunjukkan maklum balas positif dan kini, kod QR pada kain rentang berkenaan membolehkan orang ramai membuat laporan terus kepada MBPP.
“Sekiranya ia masih berterusan, MBPP akan mendapatkan kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), JIM dan agensi berkaitan bagi mengambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Buddha Malaysia, Loo Keat Seang berkata, pihaknya menyedari kehadirkan sami palsu berkenaan sejak dua minggu lalu di sekitar pasar awam di Georgetown.
“Sami yang mengamalkan ajaran Buddha tidak akan meminta wang, sehubungan itu kami berharap orang ramai lebih peka dan tidak tertipu dengan sindiket ini,” katanya. – MalaysiaGazette