Sektor pelancongan negara semakin baik. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Harga bilik hotel dan resort di seluruh Malaysia yang didakwa naik sejak kebelakangan ini disebabkan oleh tekanan permintaan yang cukup tinggi selepas pembukaan sempadan negara dan orang ramai dibenarkan bergerak bebas.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr. Mohd Khalid Harun mengakui trend kenaikan itu kerana operasi hotel masih belum sepenuhnya.

Disebabkan itu, selain permintaan tinggi, hotel-hotel yang ada belum berdepan lagi dengan persaingan yang dihadapi sebelum pandemik Covid-19.

Mohd Khalid Harun

“Saya akui perkara ini kerana permintaan oleh pelancong domestik cukup kukuh, setiap minggu semua tempahan di hotel, bilik resort, juga rumah inap desa penuh.

“Pada masa sama, jumlah bilik hotel masih terhad kerana ada hotel yang belum dibuka – kebanyakannya dalam proses pemulihan dan menunggu kemasukan pelaburan baharu.

“Disebabkan itu, hotel-hotel kini juga tidak berasa khuatir untuk menaikkan harga sedikit, pengguna pula ada pilihan sama ada terima harga yang ditetapkan atau tidak.

“Jadi, sehingga keadaan reda, saya jangkakan kenaikan ini akan berterusan,” katanya kepada MalaysiaGazette yang mengulas mengenai harga melancong di Malaysia semakin mahal berbanding di Thailand.

Katanya, kenaikan ini bukan sahaja membabitkan harga penginapan malah merentasi industri pelancongan termasuk tiket penerbangan, makanan dan minuman.

Sambil memberi contoh, Mohd Khalid berkata, harga tiket ke Sabah sekarang ini dijual antara RM600 hingga RM1,300.

“Tak pernah terfikir mahal macam ni tetapi itulah yang berlaku sebab permintaan kukuh,” ujarnya.

Menurut beliau, fenomena kenaikan harga dalam sektor pelancongan bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia kerana orang ramai yang ‘berkurung’ sejak dua tahun mahu keluar – sama ada di dalam mahupun ke luar negara.

Malah, katanya, kedai makanan dan minuman tidak kira apa standardnya – restoran, gerai atau kafe juga menaikkan harga kerana mereka tahu permintaan sangat baik ketika ini.

“Berdasarkan pemerhatian dan tinjauan kami, kedai-kedai makanan memang menaikkan harga, walaupun 10 sen, 50 sen tetap naik,” katanya.

Namun, Mohd Khalid menambah, keadaan ini akan reda secara beransur-ansur mulai tahun 2024.

Meskipun begitu, beliau yakin sektor pelancongan negara akan berada di landasan sebenar dalam masa yang lebih cepat daripada jangkaan memandangkan semakin banyak pelabur yang kembali ke Malaysia.

Cuma, beliau berharap, pelaburan ini akan konsisten jika Malaysia terus stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti. – MalaysiaGazette