Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan dua buah bot nelayan tempatan dalam Op Makmur.

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot nelayan tempatan dalam rondaan Op Makmur pada Rabu lalu.

Pengarah APMM, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, penahanan bot itu dibuat pada jarak kira-kira 30 batu nautika dari Kuala Kuantan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat sah lesen serta dokumen pengenalan diri yang meragukan manakala dua bot lagi dilepaskan kerana tiada kesalahan yang dikesan.

“Susulan itu, kita menahan 15 individu yang terdiri daripada tekong bersama awak-awak warganegara Vietnam yang berumur antara 24 hingga 58 tahun.

“Bot-bot dan kesemua individu yang ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pernepa, Kuantan bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 90 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, APMM akan memperkasakan penguatkuasaan dan menggesa komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang. – MalaysiaGazette