Muhammad Sanusi Md Nor Kedah MB RM1000 aidilfitri cash aid civil servants
Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi  Md Nor kembali ‘memanaskan suasana’ apabila mempersoalkan tindakan individu yang didakwa masuk campur dalam urusan jurulatih pasukan lain.

Menerusi Facebook miliknya, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah dilihat merujuk kepada isu pelantikan jurulatih daripada pasukan Perak.

Skuad The Bos Gaurus sebelum ini mengumumkan Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih baharu untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

“Yang nampak dok kalut pasai jurulatih pasukan lain tu pasai apa? Agaknya pasai jurulatih tu dia tak leh nak call direct macam dia dok call jurulatih team lain sebelum ni kot!,” tulis Sanusi dalam loghat utara.

Malah Menteri Besar Kedah itu turut mendedahkan perpindahan pemain pinjaman dalam pasukan Liga Malaysia sebenarnya tidak ikut perjanjian seperti ditetapkan oleh pengurusan kedua-dua kelab.

Berdasarkan pengalaman yang diceritakan oleh Sanusi, perkara tersebut berkait rapat tentang isu perpindahan Syafiq Ahmad yang kembali ke JDT pada bulan Mei lepas selepas hanya sempat dipinjamkan ke Kedah selama lima bulan.

“Cerita dia nak ambik balik player pinjaman pun, dia call jurulatih dengan player direct ja suruh balik, padahal perjanjian pinjaman dibuat antara pengurusan team A dengan pengurusan team B, bukan dengan jurulatih pun… nampak dak kerek dia?

“Dia ingat dia boleh buat semua benda dan orang lain tak leh kata apa kat dia ka? Ni tahun 2022 dah cik oiii… bukan tahun 1422,” tambah Sanusi.

Mengikut rekod, pemain berusia 26 tahun itu dipinjamkan kepada KDA FC bermula Disember tahun lalu.

Bersama Kedah, Syafiq merekodkan dua jaringan dan tiga bantuan gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Sanusi sebelum ini mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila mengeluarkan kenyataan berkaitan bola sepak adalah sukan untuk semua dan bukannya individu sehingga menyebabkan ada yang perlu menyembah ‘tokong’.

Dakwaan kewujudan ‘tokong’ itu dikatakan menjejaskan mana-mana pasukan untuk bermain secara adil semasa permainan. – MalaysiaGazette