Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan untuk pasukan pendakwaan memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan memberi keterangan bercanggah.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memohon kepada Hakim Datuk Collin Lawrence pihaknya mahu memulakan prosiding itu terhadap saksi pembelaan yang ketiga iaitu Pengarah Syarikat Pembinaan Teknik Sempurna Sdn Bhd, Jefri Jamil.

Ini kerana saksi itu ketika membacakan keterangan hari ini sebenarnya bercanggah dengan kenyataan yang diberikannya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar tahun 2018.

Jefri memberi keterangan berhubung pembinaan sekolah agama dan masjid di Masjid Tanah, Melaka yang dibiayai menggunakan dana Yayasan Akalbudi milik Timbalan Perdana Menteri itu hari ini.

Collin kemudian membenarkan permohonan itu di bawah Seksyen 155(c) Akta Keterangan 1950 selepas berpuas hati prosiding itu boleh dilakukan di bawah keadaan-keadaan yang dibenarkan mengikut seksyen tersebut.

Kata Collin, seksyen berkenaan membenarkan prosiding itu dimulakan kerana pernyataan kepada SPRM itu tidak menyentuh sama ada ia tertakluk di bawah OSA atau sebaliknya.

Bagaimanapun permohonan dibantah oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik dengan alasan pernyataan Jefri telah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 2 Mac 2021.

Hisyam berhujah, pernyataan itu seharusnya dinyahklasifikasikan terlebih dahulu.

Prosiding kini ditangguhkan sebentar.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bagan Datuk berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Bekas timbalan perdana menteri itu telah diperintah membela diri atas semua pertuduhan itu pada 24 Januari lalu selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette