PUTRAJAYA – Tidak logik untuk adakan pilihan raya sewaktu banjir, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Bagaimanapun beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, tidak ada siapa yang tahu bila baencana itu akan berlaku meskipun ada ramalan dibuat.
“Tapi saya yakin bahawa pilihan raya tentu tidak dapat dilakukan bila berlaku banjir, cuma kita tahu bila berlaku banjir. Mana-mana parti pun tentulah tidak logik untuk adakan pilihan raya pada waktu banjir,” katanya ketika sidang media selepas Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) hari ini.
Namun, sebagai ahli parti beliau bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku.
“Sebagai menteri, keutamaan saya adalah menyiapkan bomba berdepan dengan bencana seandainya berlaku MTL. Sebagai ahli parti, saya bersiap sedia untuk kedua-dua keadaan (PRU pada bila-bila masa).
“Tapi kita kena ingat tidak mungkin buat pilihan raya dalam keadaan banjir. Sebab laporan Jabatan Meteorologi (MeT) mengatakan MTL berlaku antara September tahun ini hingga Mac 2023, tapi ini ramalan.
“Oleh kerana saya tidak tahu bila banjir akan berlaku dan bila pilihan raya maka saya perlu ada di tahap kesiapsiagaan kedua-duanya,” jelasnya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pilihan raya tidak sesuai pada musim banjir kerana akan berhadapan dengan pelbagai kekangan.- MalaysiaGazette