GEORGE TOWN – Sebanyak 24 lokasi berisiko banjir di daerah Timur Laut di sini, sudah dikenal pasti Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang bagi menghadapi musim monsun timur laut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak A’azelan Hassan berkata, persediaan dan pemantauan di lokasi berkenaan sudah dilakukan sejak seminggu lalu.
Kata beliau, pihaknya juga sudah bersiap sedia bersama peralatan dan pengangkutan bagi menghadapi bencana selain memantau paras ketinggian air di sungai berhampiran.
“Lokasi berisiko berkenaan tertumpu di kawasan yang sering berlaku banjir kilat iaitu Jalan P Ramlee, Jalan Perak, Kampung Dodol dan di sekitarnya.
“Pemantauan sudah dilakukan pertengahan September dan pada masa ini, kita turut memastikan peralatan termasuk kelengkapan menyelamat di air berada dalam keadaan baik serta boleh diguna pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas lanjut A’azelan berkata, seramai 72 pegawai dan anggota BBP Jalan Perak sudah bersiap siaga dan memastikan kekuatan pasukan berada pada tahap maksimum.
A’azelan berkata, pihaknya turut bersedia dengan tiga bot penyelamat, dua van dan satu lori bagi kerja menyelamat mangsa banjir.
“Penduduk di kawasan terbabit dinasihatkan agar peka dengan amaran yang dikeluarkan agensi kaji cuaca.
“Mereka juga disarankan menyimpan dokumen penting di dalam ‘beg kecemasan’ supaya mudah diambil sekiranya berlaku bencana,” kata beliau. – MalaysiaGazette