Noraini (tengah) hadir pada Pogram KPT Prihatin -Tuah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Sejahtera bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Ayer Keroh, Melaka hari malam tadi.

MELAKA – Penubuhan Briged Sukarelawan IPT #KPTPrihatin diharap dapat mengukuhkan lagi kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana terutama banjir pada bila-bila masa.

Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata penubuhan briged itu dilihat dapat membantu menyelaras aktiviti dan program kesukarelawanan yang dikendalikan oleh Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia.

“Tahun lepas kita ada sukarelawan 20,000 mahasiswa terlibat sebagai sukarelawan dan tahun ini kita harap ramai lagi sukarelawan daripada kalangan pelajar-pelajar di IPT dapat menyertai briged sukarelawan ini.

“Selain memberi bantuan, ia juga akan mendidik semangat keprihatinan yang tinggi selain menghulurkan bakti kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program KPT Prihatin -Tuah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Sejahtera bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata setakat ini penyertaan briged itu melibatkan 20 universiti awam (UA) selain beberapa universiti swasta yang akan diselaraskan melalui Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia.

“Tahun ini kita harap penyertaan lebih ramai dan sasaran itu lebih mudah kerana ramai pelajar dah pulang ke kampus berbanding tahun lepas pembelajaran adalah melalui Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian.

“Jadi mereka boleh membantu komuniti dalam menghadapi monsun Timur Laut yang dijangka November ini,” katanya.

Sementara Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin dalam ucapannya berkata, bantuan yang dilancarkan pada malam ini adalah sejajar dengan slogan “Tahun 2022 Tahun Kebajikan Pelajar.

UTeM menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), katanya, telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran pelajar khususnya mereka yang tergolong dalam kumpulan B40.

“Antara inisiatif tersebut adalah Food Bank @ UTeM yang telah mendapat kerjasama baik dari beberapa agensi tempatan seperti
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mYaPEIM serta pemberian bantuan komputer riba dan peranti.

“Pemberian kupon makanan TUAH Care Food @ Campus sejajar dengan pengenalan Menu Keluarga Malaysia dan Menu Keluarga UTeM juga dilaksanakan di samping tajaan kos pengajian dan sara hidup di bawah inisiatif Anak Emas UTeM,” katanya. – MalaysiaGazette