Mohd Zawawi Ahmad Mughni

SHAH ALAM – Pertubuhan Kebajikan Darussolihin (Darussolihin) menafikan dakwaan seorang pelatihnya didera sepanjang menjalani proses pemulihan diri di madrasah itu.

Perkara itu diakui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam sidang medianya petang ini.

Menurut beliau, pelatih yang berusia 20 tahun itu dihantar oleh keluarganya ke Darussolihin untuk menjalani pemulihan, tetapi sempat berada di situ selama empat bulan daripada kontrak penempatan tiga tahun yang ditetapkan pengurusan madrasah itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu mengulas panjang perkara itu kerana sudah menjadi kes polis dan akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan itu.

“Saya dimaklumkan oleh pihak pengurusan Darussolihin mengenai kejadian itu dan selepas mendapat maklumat daripada pihak berkenaan, beliau menyerahkan kes itu kepada polis.

“Pihak Darussolihin juga telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu, termasuk sebuah media yang melaporkan kejadian yang tidak benar, selain menuduh Darussolihin beroperasi secara haram,” katanya pada sidang media di pekarangan Darussolihin di sini, hari ini.

Setiausaha Darussolihin, Mohd Rizuan Samsudin menunjukkan laporan polis yang dibuat pihak madrasah ke atas pelatih yang mendakwa didera secara militan termasuk laporan sebuah media yang berbaur fitnah

Baru-baru ini, keluarga pelatih terbabit telah membuat laporan polis mendakwa anaknya telah didera secara militan oleh pihak madrasah berkenaan dan mendapat liputan dari sebuah media.

Namun madrasah berkenaan mendakwa keseluruhan laporan mengenai kejadian tersebut tidak tepat.

Mohd Zawawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri menegaskan, pihaknya tidak menyokong sebarang aktiviti militan.

Mengenai Darussolihin yang dikatakan beroperasi secara haram, beliau menjelaskan, pertubuhan itu adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 2007.

Namun, Darussolihin kini dalam proses berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Kata beliau, pendaftaran itu dibuat pada 2017 dan berdepan sedikit masalah berhubung status tanah yang menjadi tapak bangunan Darussolihin yang masih berstatus tanah pertanian.

“Tidak timbul soal Darussolihin beroperasi secara haram kerana sepanjang tempoh pendidikan di sini, pegawai MAIS juga turut datang untuk memberi ceramah dan motivasi kesedaran kepada para pelatih.

“Guru yang mengajar kelas agama di sini juga bertauliah di bawah MAIS dan tiada isu mengamalkan ajaran sesat seperti didakwa pihak terbabit,” katanya.

Beliau berkata, Darussolihin melaksana dan menjalankan modul 5B iaitu Berubat, Bertaubat, Beribadah, Bermujahadah dan Berhijrah.

Modul itu, jelas beliau, terbahagi kepada tiga fasa rawatan dan pemulihan yang memerlukan tempoh minimum 36 bulan berdasarkan konsep memperbaiki semula kekuatan jatidiri, rohani, mental dan jasmani.

Pelatih yang menerima rawatan pemulihan adalah mereka yang terlibat dengan dadah dan pelbagai masalah gejala sosial.

“Dalam usaha memperbaiki diri, pelatih yang telah pulih dan mempunyai kemahiran, kecenderungan serta minat dalam perniagaan turut diberi sokongan serta galakan.

“Darussolihin membuka perniagaan restoran, katering, gerai jualan makanan seperti lemang dan coconut shake, bengkel motosikal dan kedai pakaian muslim.

“Perniagaan ini dikendalikan sendiri oleh pelatih yang telah sembuh. Ia bertujuan supaya minat dan kemahiran mereka tidak disia-siakan dan bersedia menempuh ujian apabila kembali kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette