KUALA LUMPUR -Pelupusan dan pemusnahan babi yang dijangkiti demam babi Afrika (ASF) di dua ladang komersial di Kerian, Perak sudah selesai dilakukan.
Manakala proses penyitaan, penutupan dan proses disinfeksi ke atas kedua-dua ladang tersebut masih berjalan.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berkata, pihaknya telah membuat pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan di ladang babi komersial dalam kawasan terjangkit, termasuk rumah sembelih di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
“Pemantauan di lapangan dan siasatan serta persampelan pada babi komersial dipergiatkan lagi di ladang dan rumah sembelih, dan syarat pindah babi serta produk babi dari negeri Perak ke seluruh Semenanjung Malaysia telah diperketatkan,” katanya menerusi kenyataan,
Sehubungan itu, semua ladang babi diarah untuk memperkukuhkan amalan dan kemudahan biosekuriti di premis masing-masing bagi mencegah kemasukan penyakit ASF.
Antaranya, penternak dinasihatkan supaya tidak menghantar babi ke rumah sembelih sekiranya ada tanda klinikal disyaki penyakit di ladang.
Selain itu, pagar perimeter mestilah lengkap bagi mengelak pencerobohan orang dan haiwan liar (termasuk babi hutan).
Penternak juga dinasihatkan untuk tidak menghantar babi ke rumah sembelih sekiranya
ada tanda klinikal disyaki penyakit di ladang dan kenderaan pengangkut babi mesti
melalui proses disinfeksi secara menyeluruh meliputi permukaan luar dan dalam lori, sebelum dan selepas keluar dari kawasan rumah sembelih.
Proses disinfeksi ini meliputi keseluruhan termasuk pakaian dan peralatan ladang
menggunakan disinfektan yang bersesuaian mengikut sukatan dan bancuhan
yang dinyatakan pada label.
JPV berkata, sebagai usaha mengekang penularan ASF, pelawat tidak digalakkan berkongsi kenderaan pengangkut babi dengan ladang lain dan mesti melalui proses disinfeksi sebelum dan selepas keluar dari kawasan ladang.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membeli babi hidup secara terus dari ladang atau kenderaan pengangkut babi.
Bagaimanapun, JPV berkata, orang ramai tidak perlu panik kerana penyakit ASF adalah tidak zoonotik (tidak berjangkit kepada manusia).
Baru-baru ini jabatan berkenaan mengesahkan penyakit ASF dikesan menjangkiti dua ladang ternakan babi komersial di daerah Kerian, Perak.
Penyekit itu dilaporkan melibatkan lebih kurang 88 ekor babi dan keadaan terkawal. – MalaysiaGazette