Gambar hiasan

PULAU PINANG – Masalah besar yang dihadapi Perikatan Nasional (PN) pada masa ini adalah pengundi tidak dapat membezakan antara PN dan BN.

Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata,  jalan penyelesaian perlu dikenal pasti kerana masih terdapat penyokong partinya yang ingat bahawa Gerakan masih berada dalam Barisan Nasional (BN).

Dominic berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri juga pernah mendedahkan bahawa terdapat penyokongnya yang ingat beliau masih bersama BN.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata,  terdapat organisasi tokong yang menyatakan sokongan kepada BN kerana ingat Gerakan akan bertanding di bawah panji BN.

“Seorang pengundi dari Jelutong juga memberitahu bahawa dia pasti akan mengundi BN kerana dia menyokong Gerakan.

“Nampaknya, masih ramai orang Pulau Pinang tidak tahu bahawa Gerakan telah keluar dari BN,” katanya dipetik Kwong Wah Yit Poh.

Tong Keong berkata, Gerakan Pulau Pinang justeru meminta pusat mempertimbangkan supaya calon Gerakan bertanding untuk PN dengan menggunakan lambang Gerakan sendiri.

“Ini merupakan permintaan akar umbi, cawangan dan bahagian di Pulau Pinang. Kami berharap pusat akan memberi pertimbangan sewajarnya.

“Gerakan telah bermula di Pulau Pinang dan merupakan jenama lama yang dikenali ramai orang di sini.

“Lambang Gerakan mempunyai tiga bahasa dan tiada lambang parti lain yang menunjukkan keistimewaan seperti lambang kami,” katanya.

Mengulas masalah kekeliruan antara BN dan PN, Dominic berkata, Gerakan Johor juga membangkitkan isu sama kerana ramai pengundi tidak tahu siapakah anggota PN.

Katanya, Pas sebagai anggota dalam PN juga mahu bertanding menggunakan lambang “bulan” sendiri. – MalaysiaGazette