Hassan (Bukan nama sebenar)

SIMPANG RENGGAM – Kerinduan 30 penghuni Penjara Simpang Renggam terhadap insan tersayang yang telah lama tidak bersua terubat apabila mereka dipertemukan dalam  Program Jalinan Kasih pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi pekarangan penjara apabila sebahagian ahli keluarga tidak dapat menahan air mata daripada berguguran tatkala berpeluang dengan insan tersayang.

Bagi Hassan (bukan nama sebenar) beliau berpeluang melepaskan rasa rindu terhadap isteri, anak dan cucunya.

Dia yang kini menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (TLS) sebak apabila melihat cucu yang berusia dua tahun itu buat pertama kali.

“Syukur saya teramat gembira apabila penjara adakan program seumpama ini, sudah tentu saya rindu kepada semua keluarga saya. Hanya Tuhan yang tahu hati kecil saya ini.

“Saya juga bersyukur kerana keluarga tidak pernah mengenepikan saya dan bila lihat cucu terdetik dalam hati ini supaya dia menjadi lelaki yang berpendidikan agama satu hari nanti,” katanya ketika di temui pada Program Jalinan Kasih di Penjara Simpang Renggam, di sini.

Bapa kepada lapan anak dan lima cucu itu dalam nada sugul memberitahu, dia kini reda dengan hukuman yang terpaksa dilalui dan percaya apa yang berlaku ada hikmah.

“Hati saya tersentuh apabila setiap kali anak-anak datang jumpa, mereka akan tanya bila abah nak keluar bah? Waktu tu saya cuma mampu cakap sabar.

“Bagi saya, dapat dibebaskan saya bersyukur. Kalau ditetapkan saya tidak dapat keluar pun saya tetap bersyukur dan reda kerana mungkin ada lebih baik menanti saya di sana, Insya-Allah,” katanya.

Menurut Hassan, banyak ilmu yang dipelajarinya di dalam penjara dan beliau telah mampu khatam membaca Al-Quran sebanyak tujuh kali.

Dia yang telah 25 tahun menjalani hukuman penjara menyifatkan ia banyak memberi pengalaman baru bagi insan sepertinya untuk berubah. – MalaysiaGazette