Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Sambutan Ulang tahun ke-6 Bersatu di Presint 2, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi Awang minggu depan bagi mendapatkan pengesahan bahawa terdapat pertemuan antara Presiden Pas itu dengan Presiden UMNO,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu.

Selain mendapat pengesahan itu, Muhyiddin memberitahu, pertemuan dengan Hadi itu juga bagi membincangkan kedudukan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) susulan kenyataan parti yang cenderung mahu bekerjasama dengan UMNO sejak kebelakangan ini.

“Saya ada baca kenyataan itu (Hadi jumpa Zahid). Saya juga ingin tahu apa yang berlaku dalam pertemuan itu.

“Saya akan jumpa Hadi dalam Isnin atau Selasa,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun Bersatu ke-6 di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan, Hadi telah membuat satu pertemuan dengan Zahid pada pada Selasa lalu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh pada PRU15.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang Pengerusi PN berkata, beliau juga mahu mengadakan perbincangan mengenai hasil perjanjian yang telah dibuat antara Pas dan UMNO

“Kita akan bincang banyak isu yang penting,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, beliau tidak akan mencabar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan tarikh sebenar PRU15.

Beliau berkata terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.

“Kita masih boleh menunggu masa sesuai untuk diadakan PRU15,” katanya. – MalaysiaGazette