Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak berniat untuk menjadi Perdana Menteri kali ketiga jika diberi peluang membentuk kerajaan melalui Gerakan Tanah Air (GTA).

Bagaimanapun, kata Pengerusi GTA itu, jika difikirkan mengenai kedudukannya, beliau lebih suka berehat sambil berperanan sebagai pakar rujuk atau penasihat.

“Itu saya boleh buat, tetapi kalau ada desakan demi desakan datang sehingga tidak ada orang lain (yang layak jadi perdana menteri), saya terimalah.

“Tetapi, tidak bolehlah sampai lima tahun. Mungkin satu tahun sahaja,” katanya menerusi program Hard Talk Gerakan Tanah Air di Pusat Konvensyen Bangi, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan peserta yang bertanyakan, adakah beliau mungkin menjadi Perdana Menteri kali ketiga jika diberi peluang membentuk kerajan atas nama kerajaan GTA.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan menggabungkan empat parti dalam GTA bukan untuk menjadi perdana menteri.

“Itu bukan niat saya. Saya cuma nak tentukan dasar-dasar yang tolong orang Melayu itu dapat dilaksanakan oleh kerajaan (GTA) yang prihatin dan sayangkan agama, bangsa serta negara,” katanya.

Menjawab soalan berhubung peranannya sebagai Perdana Menteri kali kedua ketika penubuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada Mei 2018 hingga Februari 2020, Tun Dr. Mahathir mengakui memang banyak cadangan reform datang daripada pemimpin PH.

Bagaimanapun, katanya, antara kesukaran dihadapi PH ketika itu ialah untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan sesuatu pembaharuan dilakukan kerajaan ketika itu tidak mendapat dua pertiga majoriti.

“Ramai bercakap pasal reform, nak reform kita mesti kuat dan kita mesti ada cara yang boleh diterima oleh rakyat. Macam-macam benda yang kita nak terima, umpamanya pemilihan hakim, di waktu ini hakim dipilih oleh hakim.

“Ketua Hakim akan kemukakan nama hakim yang nak dinaikkan pangkat ataupun nak dilantik sebagai hakim kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri perlu rujuk kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Nampak sangat Perdana Menteri mempunyai banyak kuasa dan dia akan pilih hakim ikut kehendaknya. Jadi, kita dapati sistem kehakiman kita tidak baik, kita nak tukar itu, jadi kita kena tukar perlembagaan, tapi kita tak boleh tukar perlembagaan,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, banyak benda yang termasuk dalam pembaharuan itu cuma kenyataan sahaja, tetapi tidak dapat dilaksanakan dalam jangka masa 22 bulan.

Tapi, kata Dr. Mahathir, kalau diberi masa lama dan kalau PH menang dua pertiga kerusi, banyak perkara yang boleh dilakukan.

Namun, ujar beliau, antara pembaharuan yang menjadi tumpuannya ketika itu ialah rasuah.

“Semasa kita 22 bulan jadi kerajaan, tahap rasuah berkurangan. Ini diiktiraf oleh badan antarabangsa, tetapi 22 bulan tak cukup. Kita perlukan masa yang lebih untuk kita buat reform.

“Tetapi, reform itu bukannya selalunya baik, kita kena kaji betul-betul dulu sama ada reform itu akan mendatangkan faedah ataupun tidak,” katanya. – MalaysiaGazette