KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mendakwa, perbicaraan kes SRC International Sdn. Bhd. melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah diuruskan secara terperinci terutamanya dari segi pemilihan hakim.
Menurut beliau, peguam pendakwaan juga yang terpilih dari kalangan di luar kerajaan manakala di peringkat rayuan, dari Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan, keputusan Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dipertahankan.
“Malah penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Nazlan dikatakan oleh Ketua Hakim Negara sebagai serangan terhadap sistem kehakiman negara.
“Malah mahkamah bercuti supaya dijayakan ‘Walk for Justice’ anjuran Majlis Peguam atas soal penyiasatan SPRM itu.
“Apatah lagi permohonan Najib untuk mendapat khidmat Peguam Diraja United Kingdom, menukar peguam bela dan membawa bukti baharu, semuanya ditolak tepi,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Shahrir berkata, tanpa saksi penting seperti bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Nik Faisal Ariff Kamil, Mohd. Nazlan boleh merumuskan bahawa Najib bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal kemasukan dan pengeluaran dana bagi akaun-akaunnya.
Beliau menambah, sesuatu proses hanya boleh disusun ke arah sesuatu matlamat apabila mereka yang terlibat dalam proses itu dipilih kerana turut bersetuju dengan matlamat tersebut.
Shahrir memberitahu, kebiasaannya, ia melibatkan satu kumpulan yang kecil dan terpilih maka atas sebab itu, ia sukar diulangi kerana masih ada mereka yang berintegriti dan berpegang setia kepada sumpah jawatan.
“Jadi mungkin hanya boleh dibuat sekali atau dua kali sahaja. Tak semua mencari imbuhan atau balasan di dunia,” jelasnya.
Beliau berkata, kes visa luar negara yang dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula berbeza kerana ada ‘buku 555’ atau ‘lejar’ yang menunjukkan pembayaran wang tunai.
“Bagi kes Zahid pula, hakim tidak yakin sepenuhnya dengan keterangan saksi-saksi pihak Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) dan kesahihan catitan dalam ‘lejar’.
“Apatah lagi dari segi dakwaan penyampaian wang tunai kepada Zahid. Kemunasabahan penggunaan berbagai nama-nama kod dalam ‘lejar’ juga menjadi persoalan,” katanya. – MalaysiaGazette