Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berucap di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York

KUALA LUMPUR – Malaysia kecewa dengan pendudukan secara haram Israel di Wilayah Palestin yang berlarutan sejak sekian lama.

Rasa kecewa itu diluahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, semalam.

Beliau menyatakan, rakyat Palestin terus hidup dalam belenggu dasar-dasar diskriminasi Israel dengan penempatan haram yang semakin berleluasa.

Ini tegasnya, bertentangan dengan undang-undang antarabangsa termasuk resolusi 2334 Majlis Keselamatan, yang mana hak paling asas rakyat Palestin terus dinafikan.

Justeru, kata Perdana Menteri, Malaysia berpandangan kuasa-kuasa besar perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan isu kekejaman yang dihadapi rakyat Palestin.

“Pendirian tegas ini harus diambil oleh PBB bagi memastikan krisis yang telah berlarutan di bumi Palestin sejak sekian lama dapat diselesaikan segera.

“Apa yang berlaku hari ini, kebanyakan negara begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine. Malaysia mahu tindakan yang sama harus diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin.

“Israel perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid,” tegasnya.

Menurut Ismail Sabri, walaupun dunia masih diancam konflik antara negara, mereka tidak boleh mengabaikan krisis lain yang berlaku di seluruh dunia.

Katanya, tunjang kekuatan kepada dunia yang bebas konflik ialah hidup bersama dalam budaya damai.

“Malaysia, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama sentiasa menyokong padu dan memperjuangkan konsep kewujudan bersama yang aman antara pelbagai bangsa, kepercayaan dan budaya,” katanya.

Mengenai rantau Asia Tenggara, Ismail Sabri berkata, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam penyelesaian konflik iaitu terlibat dalam proses damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sejak tahun 2001.

Selain itu, Malaysia juga sentiasa proaktif membantu menyelesaikan pelbagai krisis dan konflik serantau.

Namun katanya, Malaysia kecewa dengan situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa Februari tahun lalu.

“Amat mendukacitakan, apabila Majlis Keselamatan tidak mengambil sebarang tindakan serius dalam menangani situasi ini, malah ada yang melihat Majlis Keselamatan lepas tangan dan menyerahkannya kepada ASEAN.

“Malaysia kecewa tiada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN terutama oleh pihak junta Myanmar. Dalam acuannya sekarang, kesepakatan ini tidak boleh diteruskan lagi.

“Justeru, kesepakatan ini perlu diberi nafas baharu dan diperhalusi berdasarkan rangka kerja, jangka masa dan matlamat akhir yang lebih jelas, namun lebih penting ialah aspirasi rakyat Myanmar perlu dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata, krisis politik di Myanmar juga telah memburukkan lagi keadaan berjuta pelariannya termasuk etnik Rohingya.

Walaupun Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, tetapi atas dasar kemanusiaan menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya.

“Oleh itu menjadi tanggungjawab semua negara, termasuk negara peserta konvensyen turut mengambil lebih ramai pelarian bagi ditempatkan di negara masing-masing.

“Pada masa sama, Malaysia amat menekankan peri pentingnya dunia menangani punca utama krisis Rohingya. Saya percaya isu ini tidak akan diselesaikan selagi krisis di negara tersebut berterusan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, konflik dan krisis yang berlaku di dunia ini termasuk di Ukraine, Palestin dan Myanmar tidak dapat diselesaikan akibat kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

Jelasnya, masalah paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan, yang mana kuasa veto seringkali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

“Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut.

“Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia,  PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya,” katanya. – MalaysiaGazette