Ismail Sabri ketika berucap sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, semalam.

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewujudkan mekanisme kerjasama monetari antarabangsa bagi membina sistem yang lebih efektif, adil serta mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam struktur kewangan dan monetari antarabangsa yang masih didominasi beberapa kuasa besar serta dalam keadaan pemulihan ekonomi dunia, keputusan dasar monetari domestik perlu diselaraskan dengan mengambil kira realiti dan keperluan negara membangun.

“Dalam dunia yang saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain.

“Misalnya, dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, dasar monetari dan penetapan kadar faedah oleh sesebuah negara turut memberi impak kepada negara-negara lain.

“Di sinilah kerjasama dan penyelarasan antara negara perlu dipertingkatkan bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, semalam.

Beliau berkata, apabila mendengar komitmen yang tinggi serta ikrar untuk bekerjasama pada Perhimpunan Agung PBB tahun lalu, ia memberikan harapan kepada dunia.

Katanya, banyak kenyataan telah dikeluarkan, yang memberi harapan termasuk kepada Malaysia bahawa semangat sebuah Keluarga Dunia berupaya mengenepikan perbezaan yang wujud dalam kalangan mereka.

“Komitmen ini membolehkan kita bangkit semula daripada pandemik serta mengharungi cabaran yang kita hadapi secara bersama. Namun, semangat yang optimis ini kian pudar.

“Saya bimbang melihat cabaran yang masih tidak dapat ditangani, malah semakin buruk. Banyak cabaran masih tidak dapat ditangani.

“Iktibar utama yang kita pelajari dari pandemik Covid-19 ialah kita tidak boleh lari daripada setiap cabaran yang melanda. Sifat mementingkan diri tanpa mempedulikan kesan terhadap pihak lain hanya akan menimbulkan ketidakpercayaan dalam jalinan kerjasama antarabangsa,” katanya yang turut menyambut baik tema perhimpunan tahun ini, “Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait”.

Beliau turut menyentuh mengenai konflik global dengan menekankan keamanan dan kestabilan penting dalam mengharungi setiap cabaran besar masa kini, baik krisis perubahan iklim, kemiskinan global mahupun kesan pandemik berterusan.

“Sehebat manapun perancangan kita, ia tidak akan bertahan daripada kemusnahan dan pembaziran yang disusuli dengan peperangan moden. Inilah kebenaran yang tidak seharusnya kita lupa.

“Konflik akan hanya mengakibatkan kesan negatif kepada seluruh dunia. Disebabkan konflik, kita kini berdepan dengan pelbagai masalah seperti kekurangan zat dan sumber makanan.

“Dalam mendepani isu ini, Malaysia menyeru semua negara untuk memberi penekanan kepada isu sekuriti makanan bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk semua,” ujar beliau.

Ismail Sabri berkata, Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa wujud untuk menggalakkan penyelesaian damai bagi pertikaian antara negara dengan menetapkan had sesebuah negara dalam mengejar kepentingan diri sendiri.

Katanya, berdasarkan prinsip itu, Malaysia menentang pencabulan undang-undang antarabangsa, termasuk prinsip kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara.

Ujarnya, apabila tercetusnya konflik, semua pihak bertanggungjawab untuk meredakan ketegangan dan memberi keutamaan kepada keselamatan serta nyawa orang awam.

Pada masa sama, pihak yang bertelagah perlu kembali ke meja perundingan untuk menghentikan konflik secepat mungkin.

Malaysia katanya, tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan antarabangsa kerana langkah sedemikian bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai keadaan di Ukraine, yang mana harga yang perlu dibayar untuk sesebuah peperangan adalah tinggi nilainya.

“Ini dibuktikan dengan situasi yang dialami oleh Ukraine. Kesannya bukan sahaja dideritai oleh rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia. Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan.

“Malaysia mengalu-alukan pewujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine. Ini merupakan satu langkah positif dalam menangani masalah sekuriti makanan.

“Dalam hal ini, Malaysia ingin mengulangi ketegasan agar semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar supaya mengelak daripada mewujudkan blok pengasingan yang hanya akan mendorong dunia ke kancah perang dingin,” katanya. – MalaysiaGazette