ahmad zahid hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan pembangkang sedang menonjolkan kecelaruan dan kepelikan apabila menyenaraikan 10 menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai gagal.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangkang menyenaraikan ramai menteri telah gagal, tetapi pada masa sama membantah mandat diserahkan kepada rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan yang baharu.

“Logik pembangkang, PRU15 tidak boleh diadakan supaya kerajaan yang dibarisi menteri yang dituduh gagal boleh terus fokus menjaga kebajikan untuk rakyat.

“Bagaimanapun, kita memahami dengan jelas tidak semua yang dipropagandakan kepada menteri gagal itu adalah benar kerana ianya bermotifkan politik pembangkang.

“Sebenarnya kepelikan dan kecelaruan ini terjadi berikutan pembangkang amat takut untuk berdepan PRU15 kerana tahu mereka sedang ditolak oleh rakyat,” katanya melalui hantaran Facebooknya, malam ini.

Kelmarin, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyenaraikan 10 menteri yang disifatkannya telah gagal menjalankan tugas.

Bekas Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu meletakkan Menteri Kanan Pertanahan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dalam senarai pertama.

Ini kerana Hishammuddin menyelia pembelian kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Menurut Ahmad Zahid, pembangkang dilihat mahu terus kerajaan campuran itu sebagai “punching bag” bagi menghasut kebencian menyebabkan mereka cakap tak serupa bikin.

Katanya, kecelaruan pembangkang sebenarnya sudah pun terserlah sejak mendakwa kestabilan politik telah dibentuk di Malaysia kerana memeterai MoU dengan kerajaan PN.

“Kepelikan pembangkang, selepas menjalin MoU semakin kuat pula memburuk-burukkan kerajaan, malah berusaha menggagalkan usul kerajaan di Parlimen.

“Malah, pembangkang menolak tawaran kerjasama bagi berkongsi idea dengan pasukan khusus menangani inflasi yang ditubuhkan oleh kerajaan.

“Meskipun demikian pembangkang tidak sepatutnya mengata dulang paku serpih, mengata orang dia pula yang lebih berhubung soal kegagalan,” katanya.

Kata beliau, pembangkang orang lain gagal, tetapi mereka sebenarnya yang gagal apabila menyebabkan ekonomi negara merundum semasa mengambil alih tampuk kerajaan.

Ekonomi pada zaman BN pula, katanya, semakin bertumbuh dan bantuan kepada rakyat semakin bertambah sebelum berubah menjadi regresif selepas PRU14.

Beliau menjelaskan, pembangkang sejurus menguasai kerajaan selepas 9 Mei 2018 mengubah polisi ekonomi negara dan meminta rakyat berkorban serta ikat perut akibat kegagalan yang telah mereka lakukan.

“Justeru, satu-satunya pilihan yang ada untuk rakyat mengembali dan mengabsahkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh ialah dengan memilih Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 nanti.

“Pada tahun 2008 walaupun terdapat krisis kewangan global, ekonomi Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan BN mencatatkan pertumbuhan yang baik.

“Kerajaan BN pernah melakukannnya, Insya-Allah kerajaan BN mampu melakukannya sekali lagi jika negara berdepan kegawatan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan,” katanya. – MalaysiaGazette