KUALA LUMPUR – Penjaga gol Sarawak United FC (SUFC), Mohd Sharbinee Allawee Ramli mengesa majikannya telah menyelesaikan masalah tunggakan gaji membabitkan barisan pemain.

Menurut pemain kelahiran Terengganu yang berusia 36 tahun itu, dia bersama rakan-rakan sepasukannya kini berada di dalam keadaan lebih stabil sekali gus memberikan nafas dalam membantu SUFC mengharungi baki kempen Liga Super musim ini.

Foto Facebook Sarawak United.

“Pertama saya dan rakan-rakan sepasukan SUFC ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden, Datuk Posa Majais di atas tanggungjawab beliau untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

“Justeru, saya dapat mengesahkan bahawa majikan kami telah membayar penuh tunggakan gaji pemain sehingga Ogos 2022 dan sudah pasti motivasi kami akan berada lebih baik untuk menempuhi perlawanan akan datang serta akan lebih membantu fokus pemain nanti,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di sini hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan mereka telah menerima laporan daripada beberapa orang pemain Sarawak United  mengenai isu tunggakan gaji pemain yang pada ketika ini sudah memasuki empat bulan.

Menurut kenyataan rasmi, tunggakan gaji tersebut masih belum dilunaskan walaupun pihak pengurusan kelab menjelaskan akan menyelesaikan masalah itu.

Disebabkan masalah itu, MFL kemudian mengambil langkah proaktif apabila menyalurkan sejumlah RM100,000 kepada kelab di Borneo itu dalam usaha meringankan beban pemain.

Dana RM100,000 itu merupakan pemotongan daripada dana hak penyiaran Sarawak United FC, yang disalurkan kepada PFAM sebelum diagihkan kepada yang terjejas.

Sarawak United FC juga diberikan tempoh 14 hari bermula 26 Ogos lalu untuk menyelesaikan tunggakan itu bagi mengelak disingkirkan daripada saingan Piala Malaysia 2022. – MalaysiaGazette