KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak gentar mempertahankan parti walaupun berdepan dengan pelbagai ugutan dan ancaman politik.
Beliau juga tetap istiqamah meskipun ramai pemimpin UMNO sendiri menjauhi parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana mempercayai dakyah bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa UMNO tiada masa depan.
“Saya sendiri tidak pernah masuk politik melalui tingkap, sebaliknya karier politik saya melalui tangga politik dari bawah.
“Justeru, saya amat memahami suara akar umbi UMNO pelbagai lapisan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sedar bahawa terdapat usaha melabel beliau dengan pelbagai persepsi negatif untuk memperlekeh, memperkecil, menolak UMNO secara keseluruhan.
Ahmad Zahid juga tahu mengenai cubaan untuk menolaknya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN kerana mereka tahu, tanpa beliau, UMNO lebih mudah diperkotak-katikkan sesuka hati mereka.
“Misalnya ada yang sengaja menggunakan label kluster mahkamah kepada saya namun tidak pula menggunakan label tersebut kepada pemimpin pembangkang.
“Sikap dwistandard ini mencerminkan wajah sebenar musuh politik kita,” jelasnya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menambah, pengalaman dikenakan oleh musuh politik menjadikan beliau lebih matang, muhasabah diri, belajar mengenali musuh luaran dan musuh dalam selimut.
“Saya boleh maafkan tapi saya tidak akan lupakan sebagai pengajaran asam garam politik,” tegasnya.
Ahmad Zahid kekal berpendirian bahawa pendakwaan terhadapnya adalah pendakwaan terpilih ketika zaman PH kerana beliau telah diminta oleh Dr Mahathir untuk lompat parti, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan membubarkan UMNO.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu, Dr. Mahathir memintanya memaklumkan kepada ahli-ahli UMNO supaya menyertai Bersatu dan melupakan UMNO.
“Secara tegas saya menolak dan menyatakan kepada Dr. Mahathir bahawa kubur saya akan banjir keesokannya, jika saya bubar dan keluar daripada UMNO untuk menyertai Bersatu.
“Penolakan tersebut adalah kerana saya tidak akan sekali-kali mengkhianati UMNO semata-mata untuk kesenangan peribadi jawatan dan kedudukan.
“Sedangkan UMNO adalah teras harapan dan perjuangan orang Melayu khususnya dan menjadi tulang belakang rakyat Malaysia,” jelasnya.
Ahmad Zahid sedar bahawa UMNO tidak 100 peratus sempurna namun ia adalah yang terbaik dalam kalangan parti berteraskan Melayu-Islam dan semangat Malaysia sebenar.
Beliau berkata, walaupun ada segelintir pihak dalam UMNO yang masih tidak akur dengan keputusan dan pendirian parti, sikap UMNO masih berhemah dan optimistik.
“Hakikatnya, saya tetap berjuang mempertahankan UMNO setelah diberikan kepercayaan oleh akar umbi UMNO seluruh pelosok negara untuk menjalankan tugas sebagai Presiden.
“Jawatan Presiden perlu tegas, tidak goyang dengan ancaman politik dan berpendirian teguh kerana ‘jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’,” katanya.
Ahmad Zahid mengimbau ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di mana beliau mengingatkan ahli-ahli parti bahawa UMNO akan bangkit dan berjaya menjadi kerajaan kembali.
Namun, katanya, ramai yang memandang sinis terhadap kenyataan tersebut kerana ketika itu, UMNO dalam keadaan tewas, diperkecil dan dijauhi oleh oportunis politik serta dijadikan mangsa politik pembangkang.
Malah, jelas beliau, ketika itu UMNO berada pada titik terendah dan terlemah akibat ramai wakil rakyatnya berpaling tadah dan melompat parti tanpa memikirkan nasib dan masa depan parti yang tewas akibat politik persepsi.
“Kini Perdana Menteri dari UMNO dan fasa seterusnya insya-Allah, berkat doa dan perjuangan berterusan, UMNO akan kembali dominan dalam membentuk kerajaan selepas PRU-15,” katanya. – MalaysiaGazette