314 Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) UMP yang tamat latihan semalam.

PEKAN – Seramai 314 Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) berjaya menamatkan latihan selama tiga tahun.

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie berkata, kesemua graduan telahmelengkapkan enam semester bersamaan 672 jam sesi pembelajaran dengan berpandukan modul latihan serta penerapan kemahiran insaniah yang tinggi.

Antara modul dipelajari seperti Modul Latihan Kawad, Modul Latihan Senjata, Modul Kursus Asas Pasukan Gerakan Am dan Modul Program Khidmat Masyarakat, Pegawai-Pegawai Kor SUKSIS

“Kor SUKSIS UMP yang ditubuhkan pada 17 Julai 2007 telah melahirkan seramai 604 orang alumni pegawai Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi.

“Daripada jumlah tersebut seramai 38 orang kini sedang berkhidmat sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia dengan pelbagai bidang kepakaran,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Yuserrie berharap agar pelatih meneruskan bidang kepolisan dan menggunakan kelebihan ini dalam sektor lain pula berdasarkan kemahiran dan disiplin yang diraih sepanjang kursus.

Tambahnya badan beruniform seperti Kor SUKSIS ini dapat menanam sifat disiplin, jati diri serta melahirkan mahasiswa yang berpengetahuan undang-undang dan amalan disiplin kepolisan.

Pada kali ini pelatih Kor SUKSIS terdiri daripada Universiti Awam Zon Timur seperti UMP, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang.

Mereka menerima sijil pentauliahan yang disampaikan daripada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Aidi Ismail dalam Majlis Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pentauliahan yang berlangsung di UMP Pekan semalam. MalaysiaGazette