Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah PPN Phase 1 relaxation dine in
Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di atas penganugerahan Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) International Medal 2021 baru-baru ini.

Penganugerahan itu diberikan sebagai mengiktiraf sumbangan Dr Noor Hisham dalam bidang pembedahan perubatan di Malaysia.

Turut menzahirkan ucapan tahniah itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di akaun Facebook Istana Negara hari ini, baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan berbangga di atas penganugerahan tersebut, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Menurut hantaran itu, penganugerahan tersebut membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Dr Noor Hisham dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kecemerlangan yang berterusan.

Dr Noor Hisham menerima anugerah tersebut daripada Presiden RSCEd Prof Michael Griffin pada majlis santapan malam bagi memuliakan keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, felo terhormat RSCEd yang juga Canselor Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia.

Turut berangkat pada majlis itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud. – MalaysiaGazette