Kereta dinaiki mangsa remuk selepas melanggar sebuah lori kontena dii Jalan Wawasan di Bandar Baru Ampang di sini, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga India dan seorang wanita maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki merempuh belakang lori kontena yang di parkir di bahu jalan di Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa yang maut adalah Venkatachalm, 33 manakala wanita tempatan, M Thevamalar, 42.

Katanya, pasukan bomba yang bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan jam 3.04 pagi menemui mangsa tersepit di ruang hadapan kereta.

Mereka yang parah dibawa keluar bomba pada 3.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya,Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua mereka meninggal dunia ditempat kejadian.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca dari kecuaian pemandu  Perodua Myvi yang gagal mengawal kenderaan hingga menyebabkan kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette