Adnan Mat
Adnan Mat

MELAKA – Kira-kira 40 peratus atau 640,000 daripada 1.62 juta penjawat awam di negara ini masih belum mempunyai kediaman sendiri, antaranya berpunca daripada gaji yang jauh lebih rendah berbanding pekerja sektor swasta.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, situasi itu menjadikan status pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam di negara semakin kritikal jika tiada usaha termasuk menetapkan gaji minumum RM1,800 sebulan.

Sehubungan itu, kerajaan diharap dapat memasukkan cadangan penetapan gaji minimum RM1,8000 sebulan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Ujarnya, berdasarkan semakan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), ketika ini terdapat lebih 800,000 peminjam telah pun membuat pinjaman dengan LPPSA, selain sebahagian lagi telah mendapat pinjaman dalam sektor konvesional.

“Ini bermakna 60 peratus telah mempunyai rumah daripada keseluruhan penjawat awam seramai 1.62 juta orang.

“Penjawat awam yang tidak mampu beli rumah ini memang kritikal yang mana di bandar-bandar besar mereka hanya mampu menyewa bilik sahaja disebabkan harga rumah yang terlalu tinggi.

“Sebab itulah, kami hendak suatu sistem gaji yang komprehensif dan selesa…unjuran gaji kita (yang rendah) menyebabkan kita tidak layak membeli rumah terutamanya di bandar-bandar besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan perwakilan Tritahunan CUEPACS Negeri Melaka Sesi 2022-2025 yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Zaidi Johari di Dewan Hang Tuah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Adnan berkata, ketika ini gaji minimum pada lantikan pertama adalah RM1,208 dan hanya menghampiri RM1,900 jika ditambah dengan imbuhan tetap tetap perkhidmatan awam.

“Ini jauh terkebawah daripada pendapatan garis kemiskinan dan sasaran kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang menyasarkan negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dengan pendapatan isi rumah RM10,000.

“Jadi kami merasakan adalah amat perlu supaya gaji minimum ini ditingkatkan kerana pada ketika ini harga barang diluar sana jauh mendahului gaji kami,” katanya.

Penjawat awam katanya, memerlukan suatu sistem gaji yang komprehensif merangkumi kemampuan menyediakan lima perkara asas iaitu pemilikan kediaman, pengangkutan, kesihatan, makan minum dan pelajaran sekeluarga.

“Jadi adalah amat perlu supaya sektor swasta dan kerajaan ini diseragamkan gaji minimum seperti RM1,800 supaya pihak swasta juga boleh turut menyamai gaji itu.

“Kalau kerajaan sendiri gaji minimum RM1,200 bagaimana pihak swasta di luar sana nak ikut saranan kerajaan beri gaji minimum RM1,500 sebab kerajaan sendiri selaku majikan terbesar pun tidak laksanakan gaji minimum,” katanya. – MalaysiaGazette.