Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bergambar kenangan dengan barisan kepimpinan tertinggi DAP dan para perwakilan yang hadir pada Kongres Khas Parti 2022 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Kongres Khas DAP 2022 hari ini sebulat suara meluluskan pindaan perlembagaan parti itu seiring dengan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, seramai 632 perwakilan DAP mengundi untuk menyokong pindaan itu dibawa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk diluluskan.

“Hanya dua perwakilan sahaja yang tidak mengundi dan membantah pindaan perlembagaan DAP pada hari ini.

“Pindaan perlembagaan parti bagi memastikan kita selari dengan Perlembagaan Persekutuan untuk Akta Anti Lompat Parti telahpun diluluskan oleh para perwakilan.

“Kita akan susuli dengan menghantar pindaan ini kepada pihak RoS dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas Kongres Khas DAP 2022 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Antara cadangan pindaan perlembagaan parti itu ialah memasukkan selepas Seksyen 3 Klausa III, Seksyen 4 seperti berikut, “Mana-mana ahli Parti yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat, Senator yang dilantik ke Dewan Negara, atau wakil rakyat dalam mana-mana Dewan Undangan Negeri yang terletak dalam Persekutuan Malaysia, perlulah, tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Tertinggi Pusat, terhenti dari menjadi ahli parti selepas melakukan apa-apa ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan yang selari dengan Seksyen 9(j) Klausa XII Perlembagaan ini.”

Selain itu, cadangan pindaan juga adalah memasukkan selepas Seksyen 9(i) Klausa XII, Seksyen (j) seperti berikut, “Jawatankuasa Tertinggi Pusat boleh mengeluarkan apa-apa arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat, Senator yang dilantik ke Dewan Negara, atau wakil rakyatnya di Dewan Undangan Negeri yang terletak dalam Persekutuan Malaysia.

Semua arahan yang dikeluarkan di bawah Seksyen ini, melainkan diarahkan oleh Setiausaha Agung, perlulah dibuat secara bertulis.

Tambah Loke, pihaknya berharap RoS dapat memberikan kelulusan ini secepat mungkin supaya DAP boleh melaksanakan semua pindaan tersebut sebelum Pilihan Raya ke-15 (PRU15).

“Kita faham pindaan Perlembagaan Persekutuan telahpun digazetkan dan akan berkuatkuasa tidak lama lagi sebelum PRU15.

“Sehubungan itu pindaan perlembagaan parti kita dapat diluluskan oleh pihak RoS,” katanya.

Katanya lagi, pindaan perlembagaan penting untuk DAP menutup kelompangan yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tahu bahawa kalau dia membuat sesuatu yang melanggari keputusan dasar parti, kalau dia dipecat, dia akan kekal sebagai ahli Parlimen.

“Semasa perbahasan di Parlimen, kita telahpun tanya perkara ini kepada Menteri Undang-Undang dan ia telah direkod dalam handset Parlimen bahawa terpulang kepada parti masing-masing.

“Kalau dalam perlembagaan parti mengatakan bahawa seseorang ahli Parlimen melanggari arahan parti, maka terlucut keahliannya

“Kalau itu tertera dalam perlembagaan parti, maka Parlimen ikut, Speaker akan mengosongkan kerusi itu mengikut keputusan parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette